Thursday, 23 November 2017

B50 tumpuan 'Retreat' Pengurusan di ILSM...

Pelan Hala Tuju Bernama akan dibincangkan pada ‘Retreat’ Pengurusan Bernama yang akan diadakan di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Jabatan Perangkaan Malaysia, di Sungkai, Perak pada 14 dan 15 Disember ini.
Tarikh dan lokasi tersebut diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bernama hari ini.
Perancangan jangka panjang Bernama itu adalah seiring dengan Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Konsep Bernama 2050 atau ‘B50’ telah dicadangkan oleh Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang lepas.
Beliau berkata penting bagi Bernama mempunyai  hala tuju  itu untuk lebih  bersedia menghadapi masa depan.
Perancangan itu akan mengambilkira pandangan golongan muda serta perubahan lanskap dalam industri media yang kinipun pesat berkembang dengan kemunculan media baharu.
Tarikh 14 dan 15 Disember dipilih bagi membolehkan para peserta mengikuti acara Hari Keluarga Bernama anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) pada 16 dan 17 Disember  2017 di Puteri Bayu Beach Resort, Pulau Pangkor, Perak. 
Menurut laman web ILSM, projek institut yang dimulakan pada tahun 2009 telah siap sepenuhnya pada 28 Disember 2011 dan mula beroperasi pada 3 Januari 2012. Dibangunkan dengan keluasan melebihi 40 ekar di Sungkai, Perak yang terdiri daripada satu blok pentadbiran dan satu blok penginapan berserta kemudahan riadah. Institut itu dilengkapi dengan enam bilik kuliah, 10 bilik sindiket, dua makmal komputer dan satu makmal bahasa.
Ia boleh menampung seramai 150 orang peserta dalam satu masa dengan kemudahan sejumlah 100 bilik penginapan.
Institut itu telah diilhamkan lebih 20 tahun yang lalu. Ia bermula pada tahun 1987dengan penubuhan sebuah kumpulan kerja pembangunan sumber manusia bagi merancang pembangunan program latihan di Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada tahun 1990, Bahagian Pembangunan Perangkaan telah diwujudkan dan bertanggungjawab menyediakan program latihan dalaman.
Susulan daripada itu, Bahagian Latihan Perangkaan telah diwujudkan pada tahun 2003 dengan jumlah perjawatan sebanyak 21 orang sejajar dengan dasar kerajaan yang mementingkan pembangunan sumber manusia di sektor awam.

No comments:

Post a Comment