Sunday, 19 November 2017

Bagaikan hadiah hari jadi...

Hadiah kategori fotografi Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP 2017) Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang dimenanginya malam tadi bagaikan hadiah hari jadi bagi jurufoto Bernama Muhammad Razali Nordin yang genap 46 tahun hari ini.
“Syukur rasanya hasil kerja diiktiraf…ini kali kedua berturut-turut menang hadiah yang sama dari tahun lepas walaupun ada saingan dari rakan jurufoto media yang lain,” katanya.
Beliau menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000 berserta sijil daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk gambarnya bertajuk ‘Pembinaan Pan Borneo Telok Melano Rancak’.
Tiada pemenang utama bagi kategori fotografi AMP 2017 Sarawak.
Dalam ucapannya pada majlis di Kuching itu, Datuk Seri Fadillah berkata AMP 2017 yang diadakan buat tahun keempat bertujuan memberi penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa menyokong kementerian tersebut menerusi penghasilan artikel dan gambar.
“Sebanyak 29 penyertaan kategori media cetak, kategori media elektronik dan online broadcasting (empat) dan kategori fotografi (sembilan) diterima kali ini.
Penyertaan ini amat penting bagi kita (kementerian) supaya selain menguar-uarkan turut menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung kait sektor pembinaan,” katanya.
Razali berkata kejayaan itu mendorongnya untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan meningkatkan mutu kerja agar lebih unggul.
Foto yang membawa kejayaan kepadanya  itu dirakam pada 2 Feb 2017 ketika beliau mengikuti delegasi Kementerian Kerja Raya yang diketuai Datuk Seri Fadilah meninjau kemajuan projek lebuhraya itu.
“Telok Melano adalah kawasan paling hujung dalam peta Sarawak. Perhubungan jalan air satu-satunya cara untuk ke bandar kecil Sematan,” katanya.
Menurutnya, kesukaran  untuk membina jalan di kawasan itu disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan dan ribut serta berdekatan dengan pantai.
“Ketika ini Pan Borneo hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan 4 roda sahaja
“Dengan adanya Pan Borneo, segala kemudahan kesihatan, makanan dapat disalurkan kepada penduduk Telok Melano dengan lebih cepat,” katanya.
Ia juga membuka potensi pelancongan kepada kawasan itu.
Setelah lama menetap di Sarawak, anak kelahiran Kuala Kangsar itu seronok tinggal di negeri itu, apatah lagi isterinya orang Sarawak. Mereka mempunyai empat orang anak berusia antara 19 tahun dan 14 tahun.
Beliau telah bertugas di Sarawak sejak enam tahun lepas setelah pertama kali berkhidmat di negeri itu dari 1999 hingga 2004.
“Masyarakat Sarawak sudah lama mengamal budaya 1Malaysia, masyarakat berbilang suku adat budaya antara kaum Melayu, Iban, Bidayuh, kaum Ulu serta Cina hidup harmoni di Sarawak,” kata Razali yang sudah berkhidmat selama 22 tahun dengan Bernama.
Mengenai azam hari jadinya, beliau berkata: “Moga mendapat kesihatan yang baik dan dapat menceburi bidang yang diminati tanpa ada sekatan dan diberkati Allah.”




No comments:

Post a Comment