Saturday, 18 November 2017

Pengalaman kutip durian bagi wartawan asing...

Melakukan sesuatu di luar kebiasaan menjadi pengalaman sekumpulan wakil media luar negara yang dibawa mengutip durian di sebuah dusun menerusi program Perkampungan Perak Agro Tourism Media Tiga Negara - Malaysia, Thailand dan Indonesia, sempena musim durian di Kampung Gajah dekat Pasir Salak di Perak.
Program anjuran bersama Institut Agro Usahawan dan Perak Agro Tourism (PATRO) milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu, disertai lebih 10 pengamal media termasuk wakil media tempatan.
Dianjurkan selama tiga hari sejak semalam di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (iGrow) di sini, program itu dirasmikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.
Naib Presiden Persatuan Kelab Media Selatan Thailand, Rapee Mama berkata pengalaman mengutip durian dan makan di dusun merupakan sesuatu yang jarang dirasai di negaranya.
Fasih berbahasa Melayu dan menyifatkan diri sebagai ‘hantu durian’, Rapee berkata dia sanggup datang dari Narathiwat ke sempadan Malaysia semata-mata untuk merasai buah durian tempatan, terutama ketika musim buah.
"Saya memang suka durian sini kerana keunikan durian kampung Malaysia adalah kerana teksturnya dan lebih sedap dan puas. Rasanya sangat ‘aroi mak mak’ (sedap) .
“Berbanding durian di Thailand, kebanyakan durian kami adalah 'durian kahwin' yang datang dari daerah Chanthaburi, isinya agak berlengas (berair)," katanya kepada Bernama.
Berikutan musim durian di negaranya sekitar Ogos hingga September sudah berakhir, tidak hairanlah Rapee enggan melepaskan peluang apabila menerima jemputan menghadiri program itu.
Turut setuju dengan pendapat Rapee, seorang lagi wakil media dari Thailand, Tuwae Daniya Meringing yang berkata beliau terkejut dan teruja ketika dibawa pihak penganjur melihat suasana jualan 'Raja Buah' itu di sekitar Kampung Gajah yang jalannya sesak gara-gara penangan durian.
Berasal dari Pattani, Tuwae berkata beliau sangat hairan dan pelik melihat keriuhan penjual durian di Kampung Gajah bagaikan pesta lebih-lebih lagi apabila tular di media sosial kerana harganya yang murah berbanding kawasan lain.
"Saya pun terkejut dengan harga durian di sini yang agak mahal berbanding di tempat saya harganya sangat murah. Di tempat saya, orang kami tidaklah minat sangat makan durian berbanding orang sini," katanya yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Thailand.
Sementara itu, Azman berkata pelaksanaan program seumpama itu dapat membantu mempromosi sektor pelancongan dalam Desa Pelancongan Pasir Salak, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Saya juga melihat ia membantu daripada aspek jalinan kerjasama strategik daripada pelbagai sektor seperti pendidikan, pelancongan, pertanian dan kerjasama lain yang difikirkan sesuai.
"Selain itu program sebegini juga memberi pengalaman sebenar mengenai Agro Pelancongan sekitar Kampung Gajah terutama ketika musim buah-buahan seperti durian yang sememangnya sinonim dan terkenal di kawasan tersebut," katanya.
Selain aktiviti mengutip durian pada sebelah pagi, wakil media turut dibawa melawat ladang mangga, fertigasi tanaman cili besar, kolam ternakan ikan dan penternakan itik telur.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment