Monday, 20 November 2017

Tiga Petugas Bernama Radio Terima Ijazah Sarjana Sains UUM

Tiga petugas Bernama Radio adalah antara 865 penerima ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda pada hari ketiga Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-30 di Sintok, Kedah hari ini.
Dua penyampai radio berkenaan Naziana Md Nasir, 36, dan Natasha Aimee Hashim, 34, serta Penerbit Berita Farrah Idzana Hashim, 32, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan).
Ketiga-tiga mereka menerima ijazah sarjana itu daripada Pro Canselor UUM Tan Sri Osman Aroff di Dewan Mu'adzam Shah.
Bercakap kepada Bernama, Farrah Idzana berkata beliau mengambil keputusan menyambung pengajian itu atas faktor untuk peningkatan kerjaya selain pesanan daripada ibunya. Namun ibunya tidak sempat melihat kejayaannya hari ini kerana meninggal dunia Jun tahun lepas.
"Saya berasa sedih sebab mak meninggal (dunia) waktu saya berada di semester empat. Selepas itu pada semester enam, ayah pula sakit strok...tetapi saya tetap kuatkan semangat habiskan belajar untuk tunjuk kepada ayah, akhirnya saya habis belajar juga.
"Sekarang Alhamdulillah, ayah saya sudah okay," katanya yang merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi selepas ini.
Farrah Idzana berkata antara cabaran dihadapi sepanjang belajar sambil bekerja itu adalah perlu bijak menguruskan masa secara berkesan berikutan terdapat kelas hujung minggu dan pada masa sama juga dikehendaki bertugas pada hari berkenaan.
Sementara itu, Naziana pula berkata persaingan yang wujud dalam konteks pekerjaan dan peluang kerjaya dengan perlu sentiasa menambah baik diri agar terus kekal relevan, adalah antara pendorong penting kepadanya untuk menyambung pengajian berkenaan.
"Memandangkan usia saya sudah 36 tahun, saya tidak mahu mensia-siakannya begitu sahaja. Selagi ada semangat untuk belajar, saya akan ambil peluang apa yang ada ditambah pula dengan kawan-kawan yang sentiasa memberikan kata-kata semangat agar kami dapat menamatkan pengajian ini," katanya.
Beliau berkata mempunyai dua cahaya mata yang masih kecil dan bersekolah merupakan cabaran terbesar kepada dirinya kerana masa untuk bersama mereka sedikit terjejas selain cabaran bekerja sambil belajar yang memerlukan pengurusan masa yang baik serta komitmen yang tinggi.
Katanya bagaimanapun mendapat majikan yang sangat memahami dan banyak membantu sepanjang beliau mengikuti pengajian itu menjadi antara penyuntik semangatnya untuk mencapai kejayaan hari ini.
Dalam pada itu, Natasha Aimee berkata beliau sememangnya suka mencabar diri untuk melakukan sesuatu termasuk menyambung pengajian.
Beliau berkata meskipun berhadapan cabaran utama membesar empat anak dengan pada masa sama juga perlu bekerja dan belajar namun ia tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment