Sunday, 26 November 2017

Untung bersama…

Ibarat sebuah pasukan bola sepak, setiap pemain mempunyai peranan masing-masing untuk membawa kejayaan pasukan.
‘Striker’ yang beraksi di barisan hadapan memikul tanggungjawab besar untuk menyumbat gol.
Tugas ini tidak boleh dilakukan bersendirian kerana beliau memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk menghantar atau memberikannya bola bagi melakukan penyudah membuat jaringan.
Ada kalanya, rakan yang bermain di barisan tengah atau sayap perlu menggelicik beberapa pemain lawan sebelum menghantar bola kepada ‘striker’ untuk menjaringkan gol dengan mudah.
Bekas pemain sensasi Jerman Gerd Mueller merupakan antara ‘striker’ terbaik kerana ketajamannya membuat penyudah untuk menjaringkan gol bagi pasukannya.
Beliau digeruni oleh pasukan lawan kerana kelincahannya itu sehingga mendapat jolokan ‘Der Bomber’.    
Gol jaringannya membawa kemenangan bagi Jerman Barat untuk mengalahkan Belanda 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1974.
Walaupun Mueller muncul wira, namun pemain lain seperti ketua pasukan Franz Beckenbauer, yang merupakan tunggak pertahanan, serta penjaga gol Sepp Maier juga berjasa untuk mempastikan kemenangan Jerman Barat.
Mereka bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap menghadapi cabaran walaupun ketika itu Belanda mendahului dengan gol pembukaan menerusi sepakan penalti Johan Neeskens.
Jerman Barat dapat menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti oleh Paul Breitner sebelum Mueller mencipta nama dengan menjaringkan gol kemenangan itu.
Begitu jugalah kita di Bernama.
Kita turut berbangga apabila ada wartawan yang memenangi anugerah hasil penulisan mereka.
Seperti mana Mueller berusaha gigih untuk beraksi cemerlang, kejayaan bagi seseorang wartawan bukan datang bergolek kerana mereka perlu sentiasa mengasah bakat penulisannya.
Sepertimana pemain bola sepak, ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan rakan sepasukan.
‘Support system’ itu termasuk rakan-rakan wartawan, penyunting dan editor.
Rakan-rakan ini tidaklah pula merasa gusar jika rakan atau anak didik mereka memenangi anugerah, malahan mereka turut berasa bangga.
Semakin banyak anugerah diterima, semakin tinggilah pandangan umum kepada pasukan atau organisasi kita.
Apabila ini berlaku, itulah kemenangan kita.
Pastinya yang untung adalah kita semua.




No comments:

Post a Comment