Thursday, 30 November 2017

‘Tak Tun Tuang’ gamat lobi Wisma Bernama…

Lagu jenaka ‘Tak Tun Tuang’ yang mencetuskan fenomena setelah tular di media sosial menggamat lobi Wisma Bernama pagi ini dengan kemunculan penyanyinya Upiak Isil.
Penyanyi dari Sumatera Barat itu diwawancara dalam segmen ‘Siapa Tu’ program NINE11 sebelum menyanyikan lagu hit tersebut pada akhir rancangan terbitan Bernama News Channel.
Upiak tidak menyangka lagu yang dihasilnya pada 2014 menjadi popular selepas seorang peminatnya memuat naik lagu itu dalam laman sosial baru-baru ini.
Lagu hasil nukilan Upiak, atau nama asalnya Silvia Nanda, 32, yang berbentuk jenaka dan menghiburkan itu telah  ditonton di YouTube oleh lebih sejuta penonton sejak video tersebut diviralkan dua minggu lepas.
“Saya  telah menghasilkan 19 buah album sejak aktif menyanyi ketika berusia 13 tahun dari kampung ke kampung...tidak sangka hanya lagu dalam album ke-14 ini menjadi popular,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Padang, Sumatera Barat.
Lagu itu dihasilkan pada 2014 bersama-sama rakannya Ardi Tanjung yang bermain gitar.
Ia menceritakan kisah lawak mengenai seseorang yang tidak mandi.
Upiak berkata ‘Tak Tun Tuang’ tidak mempunyai apa-apa makna melainkan ungkapan untuk menghiburkan.
Bagaimanapun, dalam satu wawancara lain, Upiak menyatakan 'Tak Tun Tuang' itu ibaratnya bunyi gendang yang mengiringi lirik lagu itu. 
Menurutnya, lanjutan daripada populariti lagu itu, beliau telah menghasilkan lagu baharu yang mempunyai lirik antara lain: ”Aku sudah mandi…”
Untuk masa depan, Upiak berhasrat menghasilkan lagu yang lebih kelakar kerana beliau seronok (enjoy) dengan lagu sedemikian.
Selain Indonesia dan Malaysia, lagu itu turut mendapat perhatian di Thailand. 
Di sebalik populariti lagu itu yang turut dijadikan 'cover' oleh beberapa penyanyi Malaysia, ada kisah duka sehinggakan Upiak menitis air mata menceritakannya dalam wawancara dengan sebuah program hiburan televisyen Malaysia.
"Perjuangan untuk membuat lagu ini sangat banyak...saya terpaksa kumpul wang, pinjam wang orang untuk terbitkan lagu, sewa studio...
"Tahu-tahu apabila sudah siap, ada yang cetak diam-diam," kata Upiak yang bersyukur dengan kejayaan yang dicapai menerusi lagu itu.


Wednesday, 29 November 2017

Bertani di pinggir Kuala Lumpur...

Bermain dengan kambing, memproses padi hingga menjadi beras dan memproses madu kelulut adalah antara program Jom Cuti@MAEPS di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, mulai Jumaat ini hingga akhir Disember.
Ketua Pegawai Operasi Mardi MAEPS Sdn Bhd Norafizah Rahman berkata pengalaman bertani bersama keluarga dan rakan-rakan merupakan produk terbaharu di MAEPS yang merupakan taman agro pelancongan (Agrotourism Park) terbesar di negara ini.
Lokasinya tidak jauh dari Kuala Lumpur, sesuai untuk warga bandaraya mengalami suasana kampung. 
“Pengunjung dapat merasai kehidupan seorang petani dalam program sehari itu, yang menawarkan lawatan berpandu setelah membuat tempahan awal, atau  menaiki tram ke lapan laman di MAEPS,” katanya selepas menghadiri program NINE11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata  pakej serendah RM38  seorang bagi tempoh empat jam itu meliputi  lapan laman termasuk  Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Nanas, Laman Ternakan dan Laman Florikultur selain 13 rumah negeri yang terdapat di  taman itu.
Selain itu, pengunjung juga dapat merasai makanan hasil tani seperti air pegaga dan jeruk roselle, selain membuat biskut nanas, menjamu selera dengan laksa serta nanas segar pada sesi teh tarik.
“MAEPS  Agrotourism menjanjikan pengalaman istimewa buat orang ramai dalam menikmati pelbagai aktiviti bertemakan pertanian,” kata Norafizah.
Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti menunggang kuda, berbasikal, memanah serta berkhemah.
Beliau  berkata pada hujung minggu, orang ramai boleh memilih untuk menaiki tram dengan bayaran  RM5 seorang dan melawat ke lapan taman di MAEPS.
Selain itu, MAEPS yang meliputi 130 hektar kini mempunyai  ladang ternakan, ladang kambing iaitu Goat2 Go Farm dan ladang eko.
-- BERNAMA

HKM 2017 – pencarian karya kewartawanan terbaik bermula!

Industri kewartawanan Malaysia bakal menyaksikan karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2017 dijulang dan diraikan pada majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia 2017, Malam Wartawan Malaysia 2018.
Penyampaian anugerah berprestij tersebut merupakan penghormatan tertinggi kepada kerjaya pengamal media tempatan.
Majlis dijangka berlangsung pada awal Mei 2018 turut menghimpunkan komuniti wartawan seluruh Malaysia.
Malaysian Press Institute (MPI) menjemput para pengamal media untuk menyertai Hadiah Kewartawanan Malaysia 2017 atau HKM 2017 dengan menghantar karya masing-masing selewatnya pada 16 Januari 2018.
Layari www.mpi.my untuk keterangan lanjut, muat turun borang dan syarat penyertaan. Sekretariat HKM 2017 bersedia membantu anda untuk sebarang makluman/penjelasan/pertanyaan berhubung HKM 2017.
Jangan lepaskan peluang sertai - mungkin anda bakal mencatat sejarah dan siapakah empunya Kajai HKM 2017?

Tuesday, 28 November 2017

Tiada cadangan gubal undang-undang kekang visual ngeri di media...

Kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang khusus bagi mengekang penyebaran visual ngeri yang melibatkan kes seperti kemalangan jiwa dan tragedi oleh media serta orang ramai.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini kerana undang-undang sedia ada dilihat memadai dan boleh diguna pakai untuk menangani tindakan sedemikian.
Beliau berkata perundangan sedia ada dapat memastikan media penyiaran dan media sosial di Malaysia mengekang serta mengehadkan pelaporan berita mengandungi visual yang menyentuh sensitiviti keluarga mangsa terlibat.
Jelas beliau, media penyiaran dan media sosial tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), manakala stesen televisyen swasta dikenakan syarat tambahan melalui syarat lesen Pemberi Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula tertakluk  kepada Kod Etika Penyiaran RTM, katanya.
“Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat lesen dan ketidakpatuhan kepada Akta 588.
“Perkara ini turut diselarikan dengan tindakan berbentuk pentadbiran seperti mengeluarkan surat berbentuk nasihat dan peringatan kepada pada pengamal media televisyen sama ada RTM atau swasta dan media sosial bagi pelanggaran peruntukan,” kata Salleh dalam sesi kamar khas di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab usul Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) mengenai sama ada kementerian akan menggubal satu rang undang-undang dengan menamakan sebagai ‘Jabba’s Law’ bagi mengekang dan mengehadkan  tindakan penyebaran gambar-gambar jasad sebagai langkah menghormati sensitiviti dan keperitan keluarga.
Rozman berkata tindakan penyebaran gambar mangsa tragedi seperti dalam kes David William Cornish Underwood@Jabba yang mati selepas terjatuh dari tingkat 14  sebuah bangunan di Cheras, April lepas, seolah-olah tidak menjaga kehormatan mangsa yang sudah meninggal dunia, justeru langkah mengekang tindakan sedemikian di arus perdana adalah perlu sebagai menutup aib.
Mengulas lanjut, Salleh berkata media arus perdana bagi kategori media cetak pula tertakluk di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 7 (1) akta ini memperuntukkan bahawa apa jua penerbitan yang boleh memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan atau menggemparkan fikiran orang ramai boleh dikenakan tindakan termasuk Perintah Larangan oleh Menteri Dalam Negeri melalui penyiaran dalam Warta.
Katanya satu Garis Panduan Penerbitan telah disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk memberi penerangan dan penjelasan berkenaan hasil penerbitan tidak diingini yang digariskan di bawah Seksyen 7(1) Akta tersebut.
“Di bawah perkara 4.2.12 dalam garis panduan itu, gambar ngeri kejadian yang benar-benar berlaku akibat kemalangan, perang atau pengeboman memang tidak dibenarkan dan penerbit boleh dikenakan tindakan,” katanya.
-- BERNAMA

Khabar dan foto dari jauh...

Bertugas di luar negara merupakan suatu kebiasaan bagi para pegawai Bernama. Biasanya berita mengenai mereka yang berada di luar negara diketahui menerusi catatan yang dibuat menerusi media sosial terutama Facebook.
Dua pegawai kanan yang berkongsi gambar di Facebook ialah Ketua Pegawai Operasi Bernama News Channel Hakimi Zuffrida Mohd Zain yang kini berada di England dan Editor Foto Adnan Jahaya yang berada di Kazakhstan.
Daripada pakaian mereka menggambarkan musim sejuk di kedua-dua tempat.
“Masalah bila kita sini baru pukul 3pg dan ofis sedang rancak di tengah hari... tak berhenti terima call dan whatsapp ni...
“Ohh... rindunya tidur ku...,” kata Hakimi dalam catatan Facebook.
Adnan pula memaparkan gambarnya di Kok-Tobe Hill, Almaty.
“Dari puncak bukit boleh kelihatan sebahagian bandar Almaty yang suatu ketika dahulu menjadi ibu negara Kazakhstan sebelum dipindahkan ke Astana pada 1997,” katanya dalam Facebook.

Monday, 27 November 2017

Bernama terima anugerah khas alam sekitar...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima anugerah khas Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai mengiktiraf sumbangan liputannya mengenai alam sekitar
Anugerah itu disampaikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang pada Malam Gala Media 2017 anjuran kementerian itu di ibu negara malam ini.
Dalam ucapannya, menteri itu berkata kerajaan pusat sedang merancang untuk menggubal satu undang-undang baharu melibatkan pengurusan sumber air lebih sistematik di setiap negeri bagi 2018.
Cadangan itu bertujuan menyeragamkan sistem pengurusan air di setiap negeri.
“Ada negeri mengalami lebihan air hujan hingga menyebabkan banjir...ada pula negeri kekeringan air.  Jadi melalui undang-undang baharu ini dapatlah kita membekalkan lebihan air di negeri-negeri yang memerlukan,” katanya.
Wan Junaidi berkata undang-undang baharu itu akan membolehkan kerajaan pusat menyediakan sistem pengurusan air kepada setiap negeri dengan lebih konsisten.
“Pada masa sekarang, kerajaan pusat tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam sistem pengurusan air negeri. Bagaimanapun, kami  akan membuat kajian dan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara ini,” katanya.

.

MPI terbit buku '24 Karya Pemenang Anugerah Kajai'

Institut Akhbar Malaysia (MPI) telah menerbitkan buku berjudul '24 Karya Pemenang Anugerah Kajai' yang memuatkan karya pemenangnya sejak penganugerahan pertama pada 1982 sehingga kini.
Pengurus Kanan MPI Norlida Jamain berkata penerbitan buku itu bertujuan membantu pengamal media menghasilkan karya kewartawanan berkualiti, sekali gus membantu mereka meraih Anugerah Kajai.
"Jika wartawan terutamanya generasi muda meneliti karya-karya 24 pemenang anugerah itu, mereka juga berupaya untuk memenangi anugerah yang diberi setahun sekali menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Norlida berkata hanya satu karya tidak dapat dimuatkan dalam penerbitan berkenaan iaitu pemenang 1989, Noraini Nordin, dari akhbar Watan berikutan penulisannya yang tidak dapat dikesan.
Buku setebal 450 halaman itu sedang diedarkan di kedai-kedai buku utama, dengan harga pasaran RM100 manakala pembelian menerusi MPI berharga RM50 sahaja.
Kali pertama Bernama memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah utama kewartawanan Malaysia ialah pada 1980-an melalui Abdul Latiff Abu Bakar yang menghasilkan artikel berkenaan peristiwa Memali.
Ini diikuti Melati Mohd Ariff yang memenangi Anugerah Kajai pada 2009 menerusi laporan tiga sirinya mengenai pemanasan cuaca di pusat peranginan Cameron Highlands.
Melati yang menulis artikel bertajuk 'Mencari Dingin Udara di Cameron Highlands' memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan pingat emas 100 gram bernilai RM12,900.
-- BERNAMA

Sunday, 26 November 2017

Untung bersama…

Ibarat sebuah pasukan bola sepak, setiap pemain mempunyai peranan masing-masing untuk membawa kejayaan pasukan.
‘Striker’ yang beraksi di barisan hadapan memikul tanggungjawab besar untuk menyumbat gol.
Tugas ini tidak boleh dilakukan bersendirian kerana beliau memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk menghantar atau memberikannya bola bagi melakukan penyudah membuat jaringan.
Ada kalanya, rakan yang bermain di barisan tengah atau sayap perlu menggelicik beberapa pemain lawan sebelum menghantar bola kepada ‘striker’ untuk menjaringkan gol dengan mudah.
Bekas pemain sensasi Jerman Gerd Mueller merupakan antara ‘striker’ terbaik kerana ketajamannya membuat penyudah untuk menjaringkan gol bagi pasukannya.
Beliau digeruni oleh pasukan lawan kerana kelincahannya itu sehingga mendapat jolokan ‘Der Bomber’.    
Gol jaringannya membawa kemenangan bagi Jerman Barat untuk mengalahkan Belanda 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1974.
Walaupun Mueller muncul wira, namun pemain lain seperti ketua pasukan Franz Beckenbauer, yang merupakan tunggak pertahanan, serta penjaga gol Sepp Maier juga berjasa untuk mempastikan kemenangan Jerman Barat.
Mereka bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap menghadapi cabaran walaupun ketika itu Belanda mendahului dengan gol pembukaan menerusi sepakan penalti Johan Neeskens.
Jerman Barat dapat menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti oleh Paul Breitner sebelum Mueller mencipta nama dengan menjaringkan gol kemenangan itu.
Begitu jugalah kita di Bernama.
Kita turut berbangga apabila ada wartawan yang memenangi anugerah hasil penulisan mereka.
Seperti mana Mueller berusaha gigih untuk beraksi cemerlang, kejayaan bagi seseorang wartawan bukan datang bergolek kerana mereka perlu sentiasa mengasah bakat penulisannya.
Sepertimana pemain bola sepak, ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan rakan sepasukan.
‘Support system’ itu termasuk rakan-rakan wartawan, penyunting dan editor.
Rakan-rakan ini tidaklah pula merasa gusar jika rakan atau anak didik mereka memenangi anugerah, malahan mereka turut berasa bangga.
Semakin banyak anugerah diterima, semakin tinggilah pandangan umum kepada pasukan atau organisasi kita.
Apabila ini berlaku, itulah kemenangan kita.
Pastinya yang untung adalah kita semua.




Saturday, 25 November 2017

Kurnia bersyukur kejayaan berganda...

Dua malam berturut-turut naik pentas untuk menerima anugerah membuatkan wartawan Kurniawati Kamarudin rasa bersyukur.
“Diri ini terlalu kerdil dengan nikmat yang diberikan,” katanya.
“Tentunya kedua-dua anugerah ini menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk menghasilkan rencana yang lebih baik untuk masa-masa akan datang,” katanya.
Rencananya bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak Akan Terpinggir Lagi’ merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana) pada majlis Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di ibu negara  malam tadi.
Malam sebelumnya beliau memenangi hadiah khas anjuran Malaysian Institute of Planners (MIP) -- THINKCITY MyPLACE AWARDS 2017 menerusi rencananya “Komuniti hidupkan kembali Sungai Bunus’.
Memulakan perkhidmatan sebagai pegawai berita di Bernama pada tahun 2000, Kurniawati berkata beliau menjadikan matlamat agar setiap penulisannya dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
“Sebab itu setiap kali menulis, saya akan bayangkan keseluruhan aspek baik dari segi pembaca, orang yang diinterbiu serta kesan dari penulisan itu.
“Apabila kita menjiwai mudah untuk mencerap idea bagi menghasilkan sebuah rencana,” kata Kurniawati yang menyertai Meja Rencana sejak tujuh tahun lepas.
Katanya, beliau banyak menulis mengenai isu alam sekitar, sosial dan kemasyarakatan.
“Ia terlalu dekat dengan jiwa saya....apabila kita memahami dan mendalami subjek..mudah untuk kita mencanai idea.
“Kedua-dua subjek ini memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat keseluruhannya dan membolehkan kita menyelami kehidupan yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Beliau merupakan pemegang ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam pengkhususan bidang sejarah (arkeologi).
Sepanjang berkhidmat dengan Bernama, beliau pernah ditempatkan di Meja Jenayah selama sembilan tahun sebelum ditukarkan ke Meja Rencana pada tahun 2010.

Friday, 24 November 2017

Tiga wartawan Bernama menyerlah pada Anugerah Media KKLW...

Tiga wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyerlah pada majlis Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di ibu negara malam ini.
Wartawan Kurniawati Kamarudin merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana) menerusi laporan bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak Akan Terpinggir Lagi’ manakala Sakini Mohd Said di tempat kedua kategori tersebut dengan laporan bertajuk  “Anyaman Buluh 'Salingkawang' Keunikan Kraf Sabah”.
Ini merupakan anugerah kedua bagi Kurniawati dua malam berturut-turut setelah menerima Anugerah anjuran MyPLACE dengan rencana bertajuk ‘Komuniti Hidupkan Kembali Sungai Bunus’ pada hari Khamis.
Tempat ketiga dimenangi wartawan ‘The Star',  Jessie Lim Yu Min dengan laporan bertajuk 'Eye On Rural Development’.
Bernama turut merangkul anugerah saguhati menerusi kategori Elektronik Penyiaran Radio yang dimenangi wartawan Nurliyana Farhah Ruslan menerusi laporan bertajuk ‘Felcra Bantu Naik Taraf Sosioekonomi Pulau Banggi'. 
Kategori Anugerah Media Elektronik Penyiaran TV yang dimenangi wartawan TV3, Nurul Huda Abd Aziz dan Norsham Mohd Noor menerusi laporan bertajuk ‘Kemelut Orang Asli Gua Musang’.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi wartawan RTM, Farhana Nabillah Zakaria dengan laporan bertajuk ‘SPM2017 Fiesta Food Viral’ dan Noor Julizan Mohd Zain dan Mohamad Azree Zubir menerusi laporan bertajuk ‘Kelab Usahawan RISDA’.
Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah wang tunai, trofi dan sijil perhargaan kepada para pemenang.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kementeriannya akan menyediakan kuota khas kepada lima pengamal media untuk melanjutkan  pengajian peringkat pasca siswazah menerusi Bajet 2018.
“Pengumuman ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa membantu kementerian dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA

Air kelapa bakar Bandar Seri Begawan...

Kesempatan berkunjung ke Bandar Seri Begawan kerana tugas memberikan peluang kepada Ketua Biro Sarawak Abdul Aziz Harun melihat antara tarikan di ibu negara Brunei Darussalam.
Dalam laporannya hari ini, beliau menceritakan mengenai air kelapa bakar yang dijual berhampiran Masjid Omar Ali Saifuddien.
Kerja menyiapkannya mungkin nampak sukar, namun dengan jualan yang boleh mencecah sehingga lebih 500 biji kelapa dalam sehari, hasil kudratnya mungkin boleh dianggap berbaloi.
Muhammad Ardi Muhammad Mon, 37, menawarkan air kelapa bakar sebagai pelengkap kepada aneka makanan lain yang diniagakannya seperti bihun sup, rojak, dan lain-lain lagi.
Di tengah kesibukan pengunjung ke kawasan tumpuan ramai di bandaraya itu, aksi peniaga yang nampak bertungkus lumus menyiapkan air kelapa bakar untuk dijual pada harga 2 dolar Brunei (sekitar RM6.20) tiap sebiji, mencuri tumpuan.
Muhammad Ardi berkata pada hari biasa hasil jualannya berada sekitar 200 atau 300 biji kelapa, namun pada hujung minggu jumlahnya boleh mencecah sehingga lebih 500 biji.
Menurutnya beliau difahamkan air kelapa muda yang dibakar ini amat berkhasiat dan baik sebagai rawatan sakit batu karang.
Beliau telah berniaga sejak lima tahun lepas dan baharu berpindah ke kawasan masjid itu sejak beberapa bulan lepas.
Bekalan kelapa diperolehinya dengan membeli dari kawasan-kawasan kampung.
Aziz berada di Bandar Seri Begawan bagi membuat liputan Rundingan Tahunan ke-21 Pemimpin Malaysia-Brunei antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.


Not all drones require DCA approval...

Drone operators can heave a sigh of relief.
The Department of Civil Aviation (DCA) says not all operators of drones or unmanned aerial vehicles (UAV) are required to obtain approval from the department.
DCA director-general Datuk Seri Azharuddin Abd Rahman said any person in charge of a small unmanned aircraft with a mass of not more than 20 kg might fly the aircraft without an approval from the DCA as long as "he is satisfied that the flight can safely be made".
"Notwithstanding that, all UAV are not allowed to fly in Class A, B, C or G airspace and around an aerodrome unless otherwise authorised by the DCA,” he said in a statement today in response to a news article “Drone Wings to be Clipped”.
According to the article, DCA is setting up an enforcement unit to act against the flying of unregistered drones in the country.
The unit is reportedly expected to start operations early next year and would be based at all 21 airports nationwide.
It also said that the unit was introduced because many drone owners are not aware that flying the machines outside their home compounds is illegal.
In his statement, Azharuddin said DCA was currently undertaking an extensive study on the possibility of establishing  an enforcement unit for purposes of civil aviation safety as well as the possibility of registering certain types of UAV.
"No definite decision has been made thus far and DCA will provide updates and make announcements once a decision has been reached,” he said.
According to the article, DCA is planning to tighten control on drone flights by making it compulsory for owners to register the devices.
It also said that DCA is proposing a one-time registration fee of RM800 and a renewal fee of RM500 for the following year.
Azharuddin said no charges were imposed on all types of UAV.
"However, charges may apply on certain types of UAV or flying a UAV for the purpose of aerial work where the UAV is used to provide specialised services,” he said.
-- BERNAMA

Thursday, 23 November 2017

Kurnia wins MyPLACE award...

Journalist Kurniawati Kamarudin made Bernama proud when she received an award at the Malaysian Institute of Planners (MIP) -- THINKCITY MyPLACE AWARDS 2017 tonight.
Her article “Komuniti hidupkan kembali Sungai Bunus’ received special mention as the only award given in the Best Placemaking Article in Print Media category.
She received a certificate and plaque from Urban Wellbeing, Housing and Local Government Ministy Deputy Secretary-General Dr Mary Wong Lai Lin at the awards ceremony held tonight at Double Tree by Hilton.
The event marked the end of National Planning Festival 2017.
MIP said it was encouraged and overwhelmed to see the entries received for this inaugural edition of MIP-Think City MyPLACE Awards with 59 entries in total.
“All entries carry its own values and uniqueness to their own communities. The effort and willingness shown in all entries has demonstrated the commitment and passion in creating a good spaces.
“It is our hope that this MIP-Think City MyPLACE Awards will encourage everyone concern to initiate and strengthen their own initiatives in creating more public places that will significantly contribute to liveability of our cities,” it added.
The next MIP-Think City MyPLACE Awards will be held in 2019.


Bernama submits application for drone permit...

Bernama has submitted applications to the relevant authorities for the use of drones which has become an essential gadget for still and video photography.
The move disclosed at the Management Committee meeting today comes amidst a news report that the Department of Civil Aviation (DCA) is setting up its own enforcement unit to put a stop to illegal drone flying in the country.
Except for the Department of Mapping and Survey which has required Bernama to fill up certain forms on the matter, the police and DCA have yet to respond.
The need for Bernama to be given long-term permit for the use of drone has been expressed as photographs taken by the news agency were of “national importance and in the line of work”.
The Star reported today that what many drone owners do not realise, is that nearly all the flying they do outside their home compounds is considered unlawful in the first place.
A DCA spokesman said the enforcement unit, which is expected to start operations early next year, would be based at all 21 airports nationwide.
“The enforcement officers will monitor the airspace with a special radar that lets them spot drone activity in a specific area,” the spokesman said.
“DCA officers will work with the police to carry out this operation,” the spokesman said, adding that under Civil Aviation Regulations 2016, all drone activity – regardless of their size and purpose – needed a flying permit from DCA.
Flights are also capped at a maximum 120m height.
Although there are laws governing drone usage, the spokesman said DCA had not strictly enforced them so far, leading hobbyists to believe that no permit was required to fly a drone.
“Flying drones without DCA approval, whether for commercial or recreational purposes, is an offence. Those caught in the act are subject to legal action. The owners can be arrested and their drones seized,” said the spokesman.
Individuals found guilty of violating the regulations could be fined up to RM50,000 or jailed up to three years, or both.
Companies that fly drones illegally face a fine of up to RM100,000 and its officers jailed six months, or both.
The spokesman said DCA did not stop anyone from flying drones but they should have a permit if they operated outside their house compounds.
“Drone owners may fly them within their own compounds up to a height of 50m. If they use the drones elsewhere, they need a DCA permit.”
The owners also have to specify where they want to fly the aircraft when applying for the licence, which is valid for three months.
DCA also plans to tighten control on drone flights by making it compulsory for owners to register the devices.
The spokesman said DCA planned to implement this in two years.
“All drones will have to carry a registration number that must be visible on the tail,” he said.
DCA is proposing a one-time registration fee of RM800 and a renewal fee of RM500 for the following year.
Currently, only drones that weigh more than 20kg need to be registered with DCA.
The DCA spokesman said that under the Civil Aviation Regulations, drones were also prohibited from flying within a 7km radius of airports, royal palaces and telco base stations.
KLCC and Putrajaya are also considered “no-fly zones” for security purposes.

B50 tumpuan 'Retreat' Pengurusan di ILSM...

Pelan Hala Tuju Bernama akan dibincangkan pada ‘Retreat’ Pengurusan Bernama yang akan diadakan di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Jabatan Perangkaan Malaysia, di Sungkai, Perak pada 14 dan 15 Disember ini.
Tarikh dan lokasi tersebut diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bernama hari ini.
Perancangan jangka panjang Bernama itu adalah seiring dengan Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Konsep Bernama 2050 atau ‘B50’ telah dicadangkan oleh Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang lepas.
Beliau berkata penting bagi Bernama mempunyai  hala tuju  itu untuk lebih  bersedia menghadapi masa depan.
Perancangan itu akan mengambilkira pandangan golongan muda serta perubahan lanskap dalam industri media yang kinipun pesat berkembang dengan kemunculan media baharu.
Tarikh 14 dan 15 Disember dipilih bagi membolehkan para peserta mengikuti acara Hari Keluarga Bernama anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) pada 16 dan 17 Disember  2017 di Puteri Bayu Beach Resort, Pulau Pangkor, Perak. 
Menurut laman web ILSM, projek institut yang dimulakan pada tahun 2009 telah siap sepenuhnya pada 28 Disember 2011 dan mula beroperasi pada 3 Januari 2012. Dibangunkan dengan keluasan melebihi 40 ekar di Sungkai, Perak yang terdiri daripada satu blok pentadbiran dan satu blok penginapan berserta kemudahan riadah. Institut itu dilengkapi dengan enam bilik kuliah, 10 bilik sindiket, dua makmal komputer dan satu makmal bahasa.
Ia boleh menampung seramai 150 orang peserta dalam satu masa dengan kemudahan sejumlah 100 bilik penginapan.
Institut itu telah diilhamkan lebih 20 tahun yang lalu. Ia bermula pada tahun 1987dengan penubuhan sebuah kumpulan kerja pembangunan sumber manusia bagi merancang pembangunan program latihan di Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada tahun 1990, Bahagian Pembangunan Perangkaan telah diwujudkan dan bertanggungjawab menyediakan program latihan dalaman.
Susulan daripada itu, Bahagian Latihan Perangkaan telah diwujudkan pada tahun 2003 dengan jumlah perjawatan sebanyak 21 orang sejajar dengan dasar kerajaan yang mementingkan pembangunan sumber manusia di sektor awam.

Wednesday, 22 November 2017

Meningkatkan hubungan mahkamah dengan media...

Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur hari ini mengadakan pertemuan dengan wartawan Meja Mahkamah bagi meningkatkan hubungan baik kedua-dua pihak dan membincangkan beberapa isu berhubung  liputan kes mahkamah.
Ahmad Kamar Jamaludin  yang  juga hakim Mahkamah Sesyen bersama pegawainya meluangkan masa hampir satu jam bertemu dengan wakil pelbagai pertubuhan media termasuk Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, The Star dan Sin Chew Daily.
Antara isu yang dibincangkan adalah pengenalan kepada sistem baharu e-filing bagi kes sivil dan jenayah serta masalah kekurangan  tempat meletak kereta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Timbalan Pengarah, Unit Komunikasi Korporat Suzarika Sahak dan penolong kanan pendaftar unit itu, Chyfica Mohamed Zamri.
Sebelum ini Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Pendaftar Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan Ketua Pengarah Mahkamah Selangor Rozilah Salleh juga mengadakan pertemuan dengan media bagi tujuan sama.
-- BERNAMA

Tuesday, 21 November 2017

Tak sangka menang…

Dua wartawan Bernama Lucia Terey John dan Suhainie Mohd Khalid  tidak menyangka untuk memenangi Anugerah Media Johor 2016.
Lucia memenangi Anugerah Rencana Terbaik kategori Bahasa Melayu dengan artikel bertajuk ‘Jepun Menawarkan Potensi Besar Bagi Industri Halal Malaysia’.
Beliau memenangi anugerah utama, Anugerah Khas Menteri Besar Johor dan merangkul dua trofi, sijil penyertaan serta wang tunai keseluruhan RM7,000 pada majlis berkenaan di Johor Bahru malam tadi.
Suhainie pula memenangi Anugerah Berita Pelancongan Kebudayaan Terbaik (kategori Bahasa Melayu) menerusi rencana bertajuk ‘18 Jam ke Hatyai Bersama Tren Peninsular’.
Beliau menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai RM2,000.
Jurufotografi Bernama, Shaifuldin Ahmad turut memenangi Anugerah Fotografi Sukan Terbaik dan menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai RM2,000.
Lucia dan Suhainie bersependapat bahawa kejayaan itu menjadi pendorong.
“Secara jujurnya, saya tidak menjangka untuk menang anugerah utama iaitu Anugerah Khas Menteri Besar Johor 2017 memandangkan penyertaan daripada kawan-kawan daripada media begitu sengit,” kata Lucia.
“Tetapi saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang difahamkan telah memilih sendiri saya sebagai pemenangnya.
“Syukur, ini adalah kejayaan hasil semua #TeamBernamaJohor yang saling menyokong kerjaya masing-masing selama ini.
“Kejayaan ini juga adalah hasil dorongan suami, Lum Chee Hong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya mengecapi kejayaan yang lebih signifikan dalam kerjaya saya.
“Dialah pengkritik, penasihat dan nadi utama dalam saya mencorakkan masa depan demi kerjaya saya dan juga demi keluarga tercinta,” kata anak jati Serian, Sarawak itu.
Suaminya pernah bekerja sebagai wartawan Berita Harian dan kini merupakan pegawai penyelidik di Pejabat Menteri Besar Johor.
“Dengan kemenangan ini, sesungguhnya ia mendorong untuk saya lebih ingin menghasilkan berita yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi di masa depan bagi menyumbang, paling tidak kemajuan dari aspek yang berlainan kepada negeri Johor dan Malaysia amnya,” katanya.
Lucia menyertai Bernama pada 2 Mei 2013 dan dipindahkan ke Biro Johor sejak 1 Januari 2015.
Suhainie juga tidak sangka boleh menang kerana memikirkan “dah disenarai pendek pun Alhamdulillah.”
“Terima kasih kepada Kelab Media Johor dan KTMB atas penganjuran trip ke Hatyai-Songkhla menaiki keretapi selama 18 jam.
“Pengalaman naik keretapi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak saya sewaktu balik ke kampung dari Stesen Kluang-Kuala Kangsar.
“Sudah tentu kemenangan ini mendorong saya untuk menghasilkan berita atau rencana berkualiti dan menarik minat pembaca,” kata Suhainie yang menyertai Bernama pada 15 Januari 2004 dan berkhidmat di Johor sejak hujung 2005.
“Kemenangan ini turut didedikasikan kepada mendiang Dan Guen Chin, rakan wartawan senior dari Malay Mail yang bersama-sama mengikuti rombongan. Beliau meninggal dunia Mei lepas,” kata anak kelahiran Lenggong, Perak, namun, dibesarkan di Kluang, Johor
“Masa dalam tren beliau ada belikan saya sandwich..Dan Guan Chin memang wartawan senior yang sangat-sangat tak lokek ilmu...” 
“Hubungan kami memang rapat sebab mendiang pernah jadi stringer Bernama especially berita sukan masa Haikal jadi ketua biro," katanya.
Suhainie berkata walaupun perjalanan keretapi itu lama namun ia tidaklah memenatkan kerana gerabaknya mempunyai tempat tidur.
“Sayangnya perkhidmatan tren peninsular JB-Hatyai tu dah stop rasanya…Saya tak pasti kenapa...mungkin takda sambutan kot,” katanya.