Thursday 26 June 2014

Tahniah dua Tan Sri J…


Banyak kisah lama yang mencuit hati diceritakan semula pada majlis meraikan dua ‘Tan Sri’ baharu dari kalangan wartawan di Wisma Bernama petang ini.
Bekas Penasihat Media Kepada Perdana Menteri Tan Sri Jalaludin Bahaudin dan  Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaaffar dianugerahi darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri
sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 7 Jun lepas.
Gembira berada di kalangan kenalan lama pada jamuan petang anjuran rakan-rakan veteran Bernama, mereka berdua menyatakan pengiktirafan itu bukan untuk individu tetapi bagi semua pengamal media.
“Sebenarnya hari ini amat bersejarah kerana tak pernah saya diinterviu…selain itu kena berucap, selalunya saya dengar PM berucap,” kata Tan Sri Jalaludin, yang pernah menjadi wartawan Bernama.
Tan Sri Johan pula menyatakan bahawa beliau sebenarnya “accidental journalist” kerana ketika masuk bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977, tugasnya ialah sebagai pegawai penyelidik.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, beliau diminta menerbitkan majalah dan sejak itu terus bergiat dalam bidang penulisan.
Minatnya terhadap penulisan mendorongnya untuk terus menulis bagi ruangannya dalam akhbar The New Straits Times sejak 2002.
Walaupun tidak bermula di Bernama, Tan Sri Johan pernah menjadi anggota Lembaga Pengelola Bernama. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dari 1992 hingga 1998.
Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, yang merupakan ketua pengarang kumpulan akhbar itu sebelum Tan Sri Johan.
Tan Sri Zainuddin serta Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman turut berucap.

  

No comments:

Post a Comment