Saturday 28 June 2014

Berpuasa di Tanah Suci ....


Ramadhan tahun ini lebih istimewa bagi Penolong Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Mohd Shukri Ishak kerana dapat memulakan puasa di Tanah Suci di samping mengerjakan umrah.
Beliau mengikuti rombongan Tabung Haji bagi meninjau persiapan untuk musim Haji akan datang.
Menurut Shukri, kira-kira 5,000 rakyat Malaysia akan menyertai jutaan umat Islam lain menunaikan ibadah puasa di Makkah dan Madinah sepanjang Ramadhan ini, yang bermula esok.
“Mereka akan berada di Makkah bagi menunaikan ibadat umrah dan berpuasa sepanjang bulan mulia ini,” katanya, memetik kenyataan seorang pegawai Tabung Haji.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan semalam bahawa Ramadhan akan bermula esok, sepertimana di Malaysia.
Umat Islam yang berada di Tanah Suci juga mula menunaikan solat sunat Tarawih malam ini.
Di Makkah dan Madinah, umat Islam akan berpuasa seawal 4 pagi hingga 7 petang, dengan suhu dianggarkan antara 40 darjah celcius hingga 48 darjah celcius.
Beberapa rakyat Malaysia yang ditemui Shukri di Madinah merasa bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa di Tanah Suci.
Mohd Shah Che Ahmad, 26, dari Kuala Lumpur, berkata peluang berpuasa di Tanah Suci buat pertama kalinya amat bermakna kerana dapat mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t.
Beliau dijadual menunaikan umrah pada hari Ahad selepas dua hari menziarahi Madinah.
"Azam saya untuk berpuasa di Tanah Suci akhirnya dimakbulkanNya. Saya berdoa semoga dapat menunaikan ibadat puasa dengan penuh keberkatan," katanya.
Johari Ramli, 44, pula berkata beliau berdoa supaya isteri, keluarga dan sahabat handainya kelak berpeluang menunaikan ibadat puasa di Tanah Suci.
- 

No comments:

Post a Comment