Monday 9 June 2014

Mempelopori kerjasama agensi media ...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Indonesia, Antara, mengorak langkah untuk mewujudkan kerjasama dengan semua agensi berita di Asia Tenggara agar pembentukan Komuniti Asean 2015 dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di rantau itu.
Kedua-dua agensi berita itu sepakat bahawa hubungan erat dalam kalangan agensi berita nasional di Asia Tenggara dapat memberi maklumat dan kesedaran kepada rakyat bahawa penubuhan Komuniti Asean mampu menjadikan mereka bangsa bermartabat di peringkat antarabangsa.
Perkara tersebut terkandung dalam Deklarasi Bandung sempena Sidang Kemuncak Bernama-Antara yang berlangsung selama tiga hari, berakhir semalam.
Selain itu, bagi memastikan tujuan pembentukan Komuniti Asean yang saling memahami, sejahtera, dinamik, rukun dan damai, Bernama-Antara akan melaksanakan peranan sebagai penyalur maklumat kepada rakyat secara efektif dan sebaik mungkin.
Sidang kemuncak itu juga sepakat bahawa Bernama-Antara akan sentiasa memperkukuh hubungan serta kerjasama yang telah terjalin erat antara kedua-dua agensi berita tersebut, sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh mengetuai delegasi pemimpin kanan pegawai agensi berita Malaysia itu, manakala Antara diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saiful Hadi dalam sidang kemuncak itu.
Turut hadir, Ketua Pengarang Antara, Akhmad Kusaeni, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual Bernama, Mokhtar Hussain serta Ketua Pegawai Operasi Radio24, Azlan Idris.
Sidang kemuncak Bernama-Antara 2014 yang bertemakan "Bersama Merintis Kejayaan" adalah yang kedua selepas pertama kali diadakan di Melaka pada 2011.
Sementara itu, Zulkefli berkata sinergi antara kedua-dua agensi berita Malaysia dan Indonesia itu banyak memberi manfaat dan pencerahan maklumat kepada rakyat kedua-dua negara.
"Kerjasama antara Bernama dan Antara terbukti memberi impak yang cukup besar bagi meningkatkan hubungan kedua-dua negara baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan budaya.
Perkongsian maklumat antara Bernama dan Antara memberi pencerahan maklumat...masyarakat kita saling mengetahui antara satu sama lain dalam banyak perkara," katanya.
Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus menjalin kerjasama dengan Antara dengan memaksimumkan potensi yang dimiliki masing-masing baik dalam pemberitaan teks, program televisyen dan radio.
Saiful Hadi berkata Antara dan Bernama merupakan agensi berita yang sentiasa menjalin hubungan dan kerjasama di rantau Asia Tenggara, malah setiap hari kedua-dua institusi itu terbabit dalam perkongsian berita dari Indonesia dan Malaysia.
"Antara dan Bernama memiliki sejarah dan hubungan mesra yang erat dan peranan kedua-dua agensi berita ini menjadikan hubungan Indonesia dan Malaysia menjadi lebih dinamik," katanya.
Pada sidang kemuncak itu juga, Bernama dan Antara melancarkan program pertukaran terbaharu terbitan BernamaTV dan Antara TV berjudul 'Salam Dari Kuala Lumpur' dan 'Salam Dari Jakarta' yang dijangka disiarkan mulai 28 Jun ini.
Program 'Salam Dari Kuala Lumpur' selama 30 minit terbitan BernamaTV yang mengutarakan isu-isu semasa, berita bercorak santai dan kejayaan rakyat Indonesia di Malaysia akan disiarkan oleh Antara TV di Indonesia, manakala BernamaTV akan menyiarkan 'Salam Dari Jakarta' terbitan Antara TV.
Kedua-dua agensi berita berkenaan juga bercadang menerbitkan bersama tabloid 'Sinergi' yang berkisar pelbagai berita mengenai Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment