Wednesday 25 June 2014

Fiesta World Cup de Tambun ...



Kelab Kakitangan Bernama (KKB) sekali lagi menganjurkan program yang cukup sinonim iaitu Hari Keluarga Bernama. Kali ini, taman tema Lost World of Tambun menjadi lokasi pilihan.  Berkonsepkan Piala Dunia yang sedang hangat pada masa kini, slogan ‘Fiesta World Cup de Tambun’ diangkat sebagai tema hari keluarga yang diadakan pada 21 dan 22 Jun 2014.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, objektif hari keluarga ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada kakitangan Bernama untuk berkenalan dengan ahli keluarga rakan-rakan mereka selain mengurangkan tekanan dek bebanan kerja. Seramai 101 orang petugas Bernama telah mendaftarkan nama mereka dengan jumlah keseluruhan seramai 392 orang termasuk ahli keluarga mereka.
Lost World of Tambun disifatkan sebagai sebuah taman tema yang menarik dan unik berbanding taman tema yang lain kerana ia menggabungkan beberapa elemen dalam sebuah kawasan yang berskala besar. Di dalam taman tema ini, para petugas dan ahli keluarga mereka dapat merasai pelbagai jenis keseronokan yang menjanjikan sebuah memori manis untuk dikenang.
Sekitar jam 11 pagi, para peserta berkumpul di bawah khemah berwarna ungu yang dipasang khas untuk warga Bernama. Kehadiran Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong, yang juga Presiden KKB serta Timbalan Presiden KKB, Haji Mokhtar Hussain, memeriahkan lagi acara pembukaan Hari Keluarga Bernama. Foto beramai-ramai dirakamkan di atas pentas utama sebagai kenangan. Setelah itu, para peserta bebas untuk melakukan sebarang aktiviti bersama ahli keluarga mereka di taman tema ini.
            Petugas yang membawa anak-anak kecil tidak melepaskan peluang untuk bergembira bermain air di Kids Explorabay. Zon ini merupakan kawasan permainan yang interaktif untuk kanak-kanak-kanak bermain dengan meriam air, baldi gergasi, air pancut, semburan gajah dan banyak lagi. Ibu bapa dan anak-anak yang sudah remaja pula kelihatan gemar mengulangi keseronokan bermain gelongsor air di Cliff Racer dan Tube Raiders.
Bagi petugas dan ahli keluarga yang menyukai aktiviti ekstrem, roller-coaster (Lupe’s Adventure), buaian berpusing (Dragon Flight) dan kapal berayun (Storm Rider) adalah sesuatu yang amat mengujakan. Bukan itu sahaja, terdapat juga pertunjukan aksi harimau, burung kakak tua dan rakun yang menghiburkan seisi keluarga. Untuk mereka yang suka membelai dan bermain dengan haiwan, Lost World Petting Zoo adalah lokasi yang wajib dikunjungi kerana terdapat pelbagai spesis haiwan yang boleh didekati.
Penat mencuba pelbagai jenis aktiviti yang disediakan, para petugas menjamu selera bersama ahli keluarga di khemah yang disediakan. Walaupun terdapat kelewatan penghantaran makanan oleh pihak katering, masalah tersebut berjaya diatasi oleh ahli jawatankuasa KKB. Setelah itu, para peserta kembali bergembira di lokasi yang belum dikunjungi sehingga lewat petang.
Bagi acara di sebelah malam, para peserta berkumpul di Ballroom Hotel Impiana, Ipoh untuk majlis makan malam. Hampir semua yang hadir ke majlis ini memakai jersi pasukan bola yang diminati dengan kelengkapan yang berwarna-warni. Mana tidaknya, hadiah lumayan menanti peserta yang berpakaian bola piala dunia terbaik.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Asri Junin. Kemudian, Datuk Abdul Rahman tampil ke atas pentas untuk memberi ucapan. Beliau yang hadir ke program ini bersama anak dan cucunya, menyatakan sokongan penuh untuk semua aktiviti yang dianjurkan oleh KKB. Penampilan Datuk Yong yang memakai topi piala dunia pula menunjukkan beliau amat sporting dan mudah didekati para petugas Bernama.

Selepas menjamu selera, beberapa acara diadakan di atas pentas bagi kelompok kanak-kanak, lelaki dewasa serta wanita dewasa. Acara turut diselang-selikan dengan sesi cabutan bertuah. Para peserta begitu ternanti-nanti pengumuman pemenang cabutan bertuah untuk hadiah lumayan yang berupa tiket penerbangan, tv LCD, telefon bimbit Lenovo, pemain dvd blue-ray dan juga alat ketuhar gelombang mikro. Saudara Yussa Yunus dari Jabatan Sumber Manusia menjadi pemenang paling bertuah pada malam berkenaan kerana telah memenangi cabutan hadiah utama iaitu tiket penerbangan ke Koh Samui, Thailand.

Tahniah diucapkan kepada anggota jawatankuasa KKB yang bertungkus-lumus siang dan malam bagi memastikan program Hari Keluarga Bernama ini berjalan lancar. Sesungguhnya penganjuran program ini merupakan satu kejayaan besar buat KKB yang perlu dibanggakan. Bagi saudara Abu Bakar  Mohamed (Jabatan Portal & e-Dagang), beliau cukup berpuas hati dengan kelancaran program kali ini. Beliau yang hadir bersama-sama dengan isteri dan anak-anak berasa amat gembira kerana dapat meluangkan masa berharga di taman tema Lost World of Tambun.
Bagi saudari Nor Azira Mansor pula (Jabatan Sumber Manusia), beliau merasakan bahawa program seperti ini sangat menyeronokkan dan perlu diadakan pada setiap tahun. Beliau juga menzahirkan harapan agar lebih ramai kakitangan Bernama yang menyertai program ini agar silaturrahim sesama petugas dapat dieratkan lagi. 

Tulisan dan foto oleh Ridzuan Mohd Ghazali (Pusat Kecemerlangan Bernama)



                          






No comments:

Post a Comment