Wednesday 25 June 2014

Mengenali BHEUU...


Kunjungan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri ke Wisma Bernama pagi ini memberi peluang bagi kedua-dua pihak saling mengenali peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Kamroldin (kanan) dan Raja Azhan (kiri)
Seramai 25 orang pegawai dan kakitangan BHEUU menyertai lawatan selama dua jam itu diketuai Pengarah Seksyen Kewangan M.Kamroldin Hitam, yang kini menanggung kerja sebagai Timbalan Ketua Pengarah.
Turut serta Pengarah Seksyen Dasar Dr Nor Mazny Abdul Majid, Pengarah Seksyen Pembangunan Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad serta Syeliza Basri, Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri. Syeliza bukan orang asing kepada Bernama kerana pernah berkhidmat dengan Bernama Radio24 ketika ia mula bersiaran.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zakaria Abdul Wahab menyampaikan taklimat mengenai Bernama yang memulakan operasi pada tahun 1968. 
Bernama merupakan agensi berita pertama di Asia yang menggunakan komputer pada tahun 1984 dan melancarkan portal berita pada tahun 1998.
Laman web Bernama.com kini berupaya menyiarkan perkhidmatan ‘live streaming”  (siaran langsung) yang boleh diakses di mana jua.
Bernama juga tidak ketinggalan untuk mengambil peluang dan kemudahan media baru melalui Twitter yang kini mempunyai sekitar 215,000 pengikut (keempat tertinggi di kalangan agensi kerajaan) dan Facebook yang diikuti 185,000.
Bagi BHEUU, ramai yang keliru mengenai fungsinya dengan menganggap ia sebagai pemegang dasar perkara-perkara bersangkutan undang-undang.
Antara ‘core business’ BHEUU ialah pembangunan mahkamah dan infrastrukturnya serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
BHEUU juga merupakan sekretariat kepada Mesyuarat  Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk kes-kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta untuk kes-kes keselamatan di seluruh negara.
Bermula tahun 2006, BHEUU juga menjadi agensi yang memantau dan menyelaras urus setia Mesyuarat Lembaga  Pengampunan  Negeri-Negeri.
Berdasarkan  keputusan Kabinet pada 8 April 2004, BHEUU telah mengambil alih peranan sebagai sekretariat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) daripada Kementerian Luar Negeri.
BHEUU bertanggungjawab untuk membantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan pelantikan  ahli-ahli suruhanjaya dan mengemukakan laporan maklumbalas kementerian terhadap laporan tahunan SUHAKAM.
Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia merupakan agensi BHEUU.
Syeliza barkata Hajah Nancy, yang sedang mengerjakan Umrah, amat berharap agar BHEUU dan Bernama dapat menjalinkan kerjasama.
Hajah Nancy melawat Bernama pada 27 Mei lepas dan menjadi tetamu program “Dalam Radar” Radio Bernama24.
“Beliau menyatakan program itu merupakan platform yang baik kerana ia berbentuk interaktif sehingga peringkat akar umbi,” kata Syeliza.

No comments:

Post a Comment