Sunday 29 June 2014

Bulan keberkatan …



 Hari ini 1 Ramadhan 1435.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa. Antara keistimewaannya ialah kewajipan bagi umat Islam supaya berpuasa yang merupakan satu daripada Rukun Islam.
Pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Sukki Othman berkata matlamat Ramadhan bukan sekadar untuk berpuasa tetapi semoga beroleh ketakwaan di sisi Allah s.w.t.
“Ini hari pertama dalam bulan Ramadhan, marilah kita tanam tekad untuk mendapat keberkatan yang melimpah ruah daripada Allah s.w.t. dan seterusnya meningkatkan ketakwaan,” katanya dalam program “Tanyalah Ustaz” TV9 yang disiarkan secara langsung dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi ini.
Beliau menghuraikan mengenai berkat yang diambil daripada perkataan bahasa Arab -- ‘barokah’, bermaksud  pertambahan dalam perkara-perkara kebaikan.
“Maknanya, orang yang mendapat berkat ini ialah orang yang bertambah-tambah kebaikan yang dilakukannya.
“Berkat ini tidak boleh diwujud (create) atau diadakan sendiri oleh kita  tetapi ia adalah daripada Allah… (Jika) kita nak memperolehi berkat, kita kena buat apa yang diperintah oleh Allah, bila mana seseorang itu taat kepada Allah, dia akan memperolehi berkat .
“Berkat bukan sesuatu yang kita boleh beli sepertimana orang boleh beli kereta atau tamar untuk berbuka puasa tetapi berkat ini adalah anugerah daripada Allah s.w.t.
“Sebab itu berkat ini, (walaupun) rezeki sikit tapi rasa banyak, cukup untuk ramai orang.
“Bila dikaitkan pula berkat dalam bulan Ramadhan, kita hendak bulan ini menjadi bulan yang sangat istimewa kepada kita yang mana bertambah-tambah kebaikan  kita lakukan yang dituntut oleh Allah s.w.t.,” kata Dr Sukki.
Dalam catatan menjelang Ramadhan melalui WhatsApp semalam, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh mendoakan agar keberkatan Ramadhan akan membawa rahmat kepada warga Bernama.
“Selamat Berpuasa Ramadhan. Semoga barokahnya membuahkan iman, kasih sayang, kemaafan, persefahaman dan perpaduan sesama warga BERNAMA. Ameen,” katanya.

No comments:

Post a Comment