Sunday 22 June 2014

Aura Piala Dunia meriahkan Hari Keluarga Bernama...

Kemeriahan bola sepak Piala Dunia 2014 turut dirasai di kalangan kakitangan Bernama dan keluarga pada program Hari Keluarga 2014 di Lost World of Tambun hari ini.

Seramai 392 kakitangan dan keluarga mereka menyertai acara itu bertemakan 'Fiesta de Tambun' sempena kejohanan bola sepak dunia itu anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB).

Ramai yang berpakaian jersi pasukan pilihan mereka termasuklah yang gagal mara ke peringkat seterusnya. 



Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata acara itu dapat menjalin silaturahim dan semangat setiakawan di kalangan kakitangan.

"Perhimpunan sebegini adalah baik untuk membina semula tenaga selepas penat bekerja," katanya ketika berucap pada majlis jamuan Hari Keluarga Bernama 2014 malam tadi.
 

Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong, yang juga Presiden kelab itu dan Timbalan Presidennya Mokhtar Hussain turut hadir.

Abdul Rahman berkata lokasi yang dipilih untuk acara itu, dalam keadaan tertentu boleh menyumbang kepada ekonomi negeri dan menggalakkan sektor pelancongan negeri berkenaan.
 

"Perak mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi antaranya Royal Belum dan Lost World Tambun," katanya.
 

Pelbagai acara diadakan termasuk acara selingan dan cabutan bertuah untuk para peserta.

Terdahulu, majlis perasmian diadakan di Lost World Of Tambun sebelum kakitangan dan anggota keluarga menjalankan aktiviti bebas.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment