Monday 30 June 2014

Keberkatan Ramadhan ...



Keberkatan bulan Ramadhan mempunyai kaitan dengan penurunan al-Quran, kata Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Sukki Othman.
“Bila mana al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka bulan Ramadhan diberikan kemulian, diberikan keberkatan oleh Allah s.w.t.,” katanya dalam program “Tanyalah Ustaz” yang disiarkan secara langsung oleh TV9 pagi ini.
Dalam Bahagian 2 “Bulan Keberkatan”, beliau berkata cara terbaik untuk mendapat keberkatan dari al-Quran dalam bulan Ramadhan ialah dengan membacanya.
“Kita kena berdamping dengan al-Quran, tak cukup kita kata bulan Ramadhan bulan al-Quran, bulan diturunkan al-Quran.
“Untuk dapat keberkatan daripada al-Quran, ada yang letak ayat al-Quran dalam frame dan gantung di dinding rumah, dia tak baca juga,” katanya.
Beliau menasihati muslimin dan muslimat supaya tidak jemu membaca al-Quran yang mana “di akhirat nanti, al-Quran akan datang kepada mereka yang membacanya.”
Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan bahawa fadilat orang yang membaca al-Quran adalah sangat besar.
“Allah akan memberi ketenangan bagi mereka yang berdamping dengan al-Quran,” kata Dr Sukki.
Dalam program hampir sejam itu, beliau turut diminta menjelaskan makna ‘takwa’ memandangkan puasa difardukan bagi melahirkan manusia untuk mendapat ketakwaan.
“Ulama menyimpulkan takwa sebagai melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah,” katanya.
Takwa ini ialah mencegah diri kita daripada beberapa perkara iaitu:
i.                    syirik kepada Allah s.w.t.
ii.                  melakukan dosa-dosa besar
iii.                berkekalan dalam dosa-dosa kecil

“Kesimpulannya apa jua yang diperintah Allah kita buat, contohnya berpuasa… kita buat dengan cara terbaik,” katanya.
Sungguhpun berpuasa, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.
“Contohnya berpuasa tetapi tak jaga mulut…mengeluarkan perkataan tidak baik, berbohong, mengumpat dan sebagainya,” katanya

No comments:

Post a Comment