Friday 27 June 2014

Rencana Sakini tarik perhatian PM...



Tulisan wartawan ‘award-winner’ Bernama Sakini Mohd Said mengenai kisah pesakit di 'Wad 10' sebuah hospital di Lembah Klang yang saling menghidupkan semangat persaudaraan walaupun berdepan penyakit kronik telah menyentuh perasaan Perdana Menteri.
"Saya terharu membaca rencana ini. Walaupun pesakit-pesakit di Wad 10 menghidapi penyakit kronik, mereka masih lagi mampu berseloroh dan berjenaka sesama sendiri sambil menghidupkan semangat persaudaraan dan pemuafakatan antara mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Inilah semangat yang ditunjukkan oleh majoriti rakyat negara kita ini, dari dulu hingga sekarang," kata Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Facebooknya malam ini.
Beliau turut menyertakan pautan kepada rencana 'Kisah 1Malaysia Di Wad 10' yang disiarkan Bernama semalam.
Ia menceritakan kisah empat sahabat pelbagai bangsa di wad berkenaan yang menghidap penyakit kronik termasuk kanser dan tiroid, tetapi kekal positif dan sentiasa memberi sokongan moral kepada satu sama lain.
"Marilah kita ambil iktibar dari kisah pesakit-pesakit ini dan bersama-sama mendoakan kesihatan mereka," kata Najib.
Sakini, yang telah memenangi beberapa anugerah kewartawanan termasuk Anugerah Wartawan Muda A.Samad Ismail anjuran Institut Akhbar Malaysia dan Petronas, memang penulis yang hebat.
Pengamatannya yang tajam dapat menghasilkan kisah empat sahabat itu -- Sabrina, Normala, Maria dan Mei dengan begitu menarik, seolah-olah kita berada bersamanya melihat suasana keakraban mereka.
Rencana seumpama ini mengembalikan nostalgia kepada tulisan mendiang Tai Sing Onn, yang kerap memaparkan soal-soal masyarakat ketika mengetuai Meja Rencana selama beberapa tahun mulai akhir 1980-an. 


No comments:

Post a Comment