Wednesday 18 June 2014

Penghargaan buat insan berjasa...selamanya!



  Satu pesanan mesej memasuki telefon bimbit. Sebaik saya membacanya, dunia saya terasa gelap seketika. Apakah perkhabaran ini benar? Saya seakan tidak percaya.
  Namun, itulah hakikat yang perlu saya terima. Encik Thomas Savarimuthu telah pergi buat selama-lamanya. Selepas beberapa hari dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital, akhirnya mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 18 Jun 2014.
  Saya mula mengenali mendiang sebagai seorang tenaga pengajar bagi kursus-kursus Bernama School of Journalism yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan.  Antara kursus yang mendiang kendalikan ialah ‘English For Journalist’ dan ‘Copy Editing’. Malah, mendiang juga pernah menyuarakan hasratnya untuk mengajar kursus ‘Writing A Good Press Release’.
Cuma, mendiang kerap mengingatkan saya bahawa beliau tidak boleh mengajar pada hari Selasa dan Khamis. Pada dua hari tersebut, mendiang dijadualkan untuk mendapatkan rawatan dialisis untuk penyakit yang dihadapinya. Saya tidak pernah bertanya apakah penyakit yang dimaksudkan kerana bimbang akan melukakan hatinya. Namun, mendiang sendiri yang berkongsi cerita tentang penyakit yang dialaminya itu.
  Saya banyak meluangkan masa bersama mendiang sebelum kursus bermula. Mendiang akan datang awal ke bilik latihan sebagai persediaan. Saya juga akan menemani beliau bersarapan atau makan tengah hari. Pada saat itulah, kami mulai rapat, berbual tentang kehidupan, berbicara mengenai kerjaya, gelak tawa bersama dan bermacam lagi perkara.   Perkara yang paling saya ingat adalah perkongsian mendiang tentang pesawat MH370.
  Selain menjadi seorang tenaga pengajar, mendiang juga sangat komited dalam mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan. Mendiang pernah berkata bahawa kita tidak boleh sombong dengan ilmu. Walaupun sudah mempunyai banyak pengalaman dalam bidang kewartawanan, mendiang langsung tidak berasa malu untuk duduk sebaris dengan wartawan muda bagi menimba ilmu. Sikap mendiang yang sangat merendah diri ini begitu mengagumkan saya.
  Awal tahun ini, mendiang ada menyertai kursus ‘Budaya Kerja Positif’ dan ‘Kemahiran Berfikir dan Menyelesaikan Masalah.’ Selain kursus, mendiang juga kerap hadir ke taklimat dan ceramah yang dianjurkan. Akan tetapi, disebabkan penyakit yang dihadapi, mendiang tidak dapat hadir pada sebelah pagi hari Selasa dan Khamis kerana perlu menjalani dialisis. Pun begitu, mendiang masih komited untuk meneruskan kursus di sebelah petangnya. Kesungguhan mendiang patut dicontohi oleh semua orang serta menjadi inspirasi untuk terus berjaya.
  Sebelum mendiang dimasukkan ke hospital tempoh hari, mendiang ada berjumpa dengan saya untuk mengira jumlah kursus yang perlu dilengkapkan bagi tahun ini. Mendiang mahu menyegerakan keperluan kursus tujuh hari kerana bimbang sakitnya bertambah teruk. Ketika itu, saya lihat kesihatan mendiang seperti biasa sahaja, cuma agak sukar untuk berjalan. Namun siapa sangka, rupa-rupanya pertemuan kami itu adalah buat kali yang terakhir.
   Kini, saya bakal merindukan mendiang. Rindu pada gelak tawanya. Rindu pada jenakanya. Rindu pada nasihat bermanfaat yang dikongsikan bersama. Rindu pada sapaan mesra, “good morning, Ridzuan!” Suara itu seakan terniang-ngiang di corong telinga.
  Encik Thomas, kamu insan berjasa! Terima kasih untuk segalanya.


Ridzuan Mohd Ghazali 
Pusat Kecemerlangan

1 comment:

  1. Kenangan bersama mendiang akan sentiasa di ingatan kami di Pusat Kecemerlangan...

    ReplyDelete