Tuesday 10 June 2014

AKRAB Bernama kunjungi badan induk ...


 Sebagai langkah awal menggerakkan aktivitinya, AKRAB Bernama mengadakan perjumpaan dengan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), yang menjadi badan induk AKRAB peringkat kementerian.
Timbalan pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain mengetuai pasukan dalam ‘sesi perkenalan’ dengan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM Datuk Abdul Rahman Mohamad dan timbalannya Encik Mohd Zamri Mat Zain di tingkat 20, Menara KKMM di Putrajaya hari ini.

Beliau memaklumkan kepada mesyuarat mengenai aktiviti yang akan  dilaksanakan oleh AKRAB Bernama yang dianggotai 16  orang termasuk pengerusinya,  Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh.
Aktiviti ini termasuk mengadakan bilik dan klinik kaunseling setiap hari Selasa, perkhidmatan melalui emel, ceramah kesedaran serta perkongsian maklumat menerusi laman web yang akan dilancarkan pada 23 Jun ini.

Bernama adalah antara empat organisasi di bawah KKMM yang mempunyai AKRAB, singkatan bagi Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.

Ekoran kursus ‘pasca AKRAB’ anjuran KKMM di Ipoh, Mac lepas, yang dihadiri oleh semua anggota AKRAB Bernama, beberapa jawatankuasa dibentuk untuk menyelaraskan aktiviti.


Untuk meningkatkan peranannya, anggota pasukan AKRAB Bernama akan memakai baju AKRAB setiap Selasa agar mudah dikenali terutama oleh rakan sekerja yang memerlukan khidmat bimbingan.


Datuk Abdul Rahman berkata pihak tertinggi kementerian ‘nampak’ peranan yang boleh dilakukan oleh AKRAB untuk membantu mengurangkan masalah di kalangan kakitangan.


“AKRAB ini kerja sukarela dan apabila sukarela tak ramai yang mahu…namun kerja murni ini boleh membantu pihak pengurusan untuk menghasilkan khidmat cemerlang,” katanya.


Visi AKRAB KKMM ialah menjadikan AKRAB sebagai penggerak budaya kelas pertama dalam organisasi.


Objektifnya ialah menyediakan perkhidmatan membimbing bagi membantu rakan sekerja meningkatkan potensi dan kecemerlangan.

Motonya pula ialah “Berkhidmat Membimbing”.


No comments:

Post a Comment