Sunday, 5 March 2017

Tiga bulan untuk gubah lagu Bernama...

Lagu korporat Bernama mula dipasang tiga kali sehari -- 9 pagi, 1 tengah hari dan 5.30 petang di Wisma Bernama bagi menyemarakkan sambutan ulangtahun ke-50 agensi berita nasional ini.
Berjudul 'BernamaKu', lagu berdurasi satu minit 14 saat itu ke udara dari Isnin hingga Jumaat menerusi 'PA system' bangunan tersebut.
Bagi penggubah lagu Razak Mowclause, perasaan gembira kerap meresapi jiwanya setiap kali mendengar lagu itu berkumandang di udara.  
Beliau menceritakan bagaimana beliau bersekang mata sampai ke pagi untuk menghasilkan lagu itu bersama anaknya, Mohamad Hadi, yang berkhidmat dengan Bernama News Channel (BNC).
"Apabila timbul ura-ura mengadakan lagu korporat Bernama bagi sambutan ulangtahun pada tahun lepas, saya terpanggil untuk mengambil bahagian," kata pemandu di Bahagian Harta itu.
Katanya, ramai di kalangan warga Bernama yang bersetuju mempunyai lagu itu tetapi menyerahkan kepada beliau untuk meneruskan inisiatif tersebut.
Beliau kemudian menelefon bekas editior eksekutif Bernama, Zainoor Sulaiman, yang diketahui telah mengusahakan sebuah lagu korporat Bernama sebelum ini, mengenai hasrat tersebut.
Setelah mendapat lirik nukilan Zainoor bagi lagu itu -- 'Bank Maklumat Anda' -- ciptaan Ahmad Dassila, Razak telah merujukkannya kepada pihak atasan Bernama.
"Mereka nak supaya temponya rancak sikit dan liriknya diubah...saya minta izin Zainoor untuk ubah senikata," kata Razak yang mula mengusahakan lagu tersebut, tiga atau empat bulan sebelum sambutan ulangtahun Bernama pada Mei tahun lepas.
"Saya buat sikit-sikit sampai dapat kesesuaian...masukkan muzik menerusi keyboard dan kami ambil masa tiga bulan untuk siapkannya," kata beliau.
Judul lagu itu 'BernamaKu' diilhamkan oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang turut bersama-sama menghasilkan liriknya, kata Razak. 
Beliau berkata timbul pula masalah untuk mendapatkan penyanyi yang sesuai setelah irama dan liriknya siap.
"Kami mahukan seorang yang mempunyai suara seperti penyanyi Roy," kata Hadi.
Akhirnya Razak mencadangkan 'orang luar' untuk menyanyikan lagu itu dan mendapat seorang lelaki dari Sabah yang bertugas di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi tujuan tersebut.
Hadi berkata pengalaman menghasilkan lagu itu bersama bapanya adalah sesuatu yang bermakna baginya.
"Saya rasa penat itu berbaloi sebab tak sangka hasilnya begini.
"Pernah kami bertegang leher nak siapkan lagu ini...ada kalanya saya rasa berat nak teruskan tetapi sebab ayah desak, saya cekalkan hati," kata Hadi, anak kedua daripada empat adik beradik lelaki.
Razak, Datuk Zakaria dan Hadi diiktiraf sebagai pencipta lagu 'BernamaKu' dan nama mereka telah dimasukkan ke dalam Daftar Hak Cipta bertarikh 29 Jun 2016.



















No comments:

Post a Comment