Friday, 24 March 2017

InfoLibNews anjur karnival cungkil bakat seni kanak-kanak...

Sempena cuti persekolahan, Pusat Maklumat Dan Perpustakaan (InfoLibNews) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan 'De U' Arts Mini Carnival' bagi mencungkil bakat seni lukis kanak-kanak.
Karnival yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang di Wisma Bernama  menyaksikan pelbagai aktiviti menarik bertemakan Seni Sejagat diadakan untuk anggota Bernama Kids 1 Malaysia Club (BK1MC) berusia enam hingga 17 tahun. 
Pengurus Maklumat Infolib, Hasnita Ibrahim berkata selain menggalakkan budaya membaca dan penggunaan InfolibNews dalam kalangan petugas Bernama, anggota BK1MC yang terdiri daripada anak-anak petugas Bernama turut berpeluang mengasah bakat mereka dalam seni lukis sempena cuti sekolah. 
"Mereka berpeluang mengikuti bengkel mewarna bersama Raja Pensel Warna Malaysia, Hasren Ismail ataupun Uneh, yang mengajar cara mewarna dengan betul bagi menghasilkan karya yang menarik. 
"Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengikuti bengkel gubahan bunga oleh Mizakreatif dan demonstrasi seni mewarna batik oleh Muzium Tekstil Negara," katanya. 
Pelbagai demonstrasi turut diadakan seperti 'decoupage', 'patchwork', dan pertandingan 'Batik Kreatif' yang menguji kreativiti peserta bagi menghasilkan gubahan paling menarik daripada kain batik. 
"Pertandingan lain yang turut dianjurkan untuk anggota BK1MC adalah 'Memo Collage' bagi peserta empat hingga enam tahun, 'How Do I Look' dibuka kepada peserta berumur tujuh hingga 12 tahun, dan 'Draw Your Dreams' iaitu 13 hingga 17 tahun. 
"Memo Collage akan mencabar peserta menghasilkan kolaj daripada akhbar terpakai manakala 'How Do I Look' memerlukan peserta menghasilkan perhiasan diri daripada getah, 'Draw Your Dreams' pula menilai lukisan paling kreatif dengan menggunakan spirograf," katanya. 
Sebanyak 15 gerai diadakan dalam karnival itu untuk pameran seni antaranya daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Les' Copaque Merchandising dan Anna Patchwork House.  
"Karnival ini juga turut menarik kehadiran lebih 200 pengunjung terdiri daripada petugas Bernama dan anggota-anggota BK1MC," katanya. 
-- BERNAMA 


No comments:

Post a Comment