Tuesday, 21 March 2017

Petugas Media Tidak Dibenar Berada Di Lobi Parlimen...

Foto BERNAMA
Petugas media kini tidak dibenarkan berada di lobi Parlimen bagi mendapatkan komen wakil rakyat atau menteri mengenai sesuatu isu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta dan mereka hanya dibenarkan berada di pusat media yang telah disediakan.
Beliau membuat keputusan itu berikutan rungutan yang diterima daripada anggota Parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di lokasi tersebut.
"Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media di merata-rata seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah.
"Sehubungan itu, saya membuat ketetapan bahawa wakil media massa yang hadir di Parlimen hendaklah membuat liputan sesi persidangan Dewan Rakyat atau sidang media anggota Parlimen hanya di pusat media. Berkuat kuasa serta merta," katanya sejurus selepas sesi soal jawab lisan tamat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pandikar Amin berkata Peraturan 94, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memberikan kebenaran kepada wakil media massa untuk membuat liputan di Parlimen.
Pandikar Amin menegaskan sekiranya pihak media didapati melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran tersebut.
Selepas membuat peraturan tersebut, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin bahawa Parlimen perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang menyukarkan petugas media untuk melakukan tugas mereka terutama dalam memantau pergerakan anggota Parlimen dan menteri Kabinet.
Katanya faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana anggota Parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.
"Bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran mereka. Malah mereka memeriahkan Parlimen. Saya minta pihak Parlimen sediakan sedikit ruang untuk mereka di lobi Parlimen," katanya.
Menjawab kenyataan Mahfuz, Pandikar Amin berkata tidak ada mana-mana anggota Parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan.
Sebelum ini, kebiasaannya berpuluh petugas media dari pelbagai agensi berkumpul di lobi Parlimen berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas mereka.
Pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment