Tuesday, 28 March 2017

Bernama rakan media cubaan pendaki tertua Malaysia tawan Gunung Everest...

Bernama akan menjadi rakan media rasmi bagi usaha pendaki gunung tertua Malaysia James Lee Chong Meng, 69, untuk melakukan percubaan kali kedua menawan Gunung Everest.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata penglibatan Bernama itu bagi menyokong tema pendakian itu untuk mempromosi gaya hidup menua dengan sihat serta kesedaran terhadap alam sekitar.
"Kita harap kita dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang tema penting ini untuk melahirkan sebuah negara yang lebih sihat dan lebih produktif.
"Apabila kita sihat, kita akan lebih produktif.
"Kita kagum dari segi keazaman Lee untuk menawan puncak Everest buat kali kedua. 
"Perjalanan yang memakan masa dua bulan dalam kesejukan, kepayahan dan keadaan berbahaya membuatkan Bernama mahu berkongsi berita ini kepada semua rakyat Malaysia," katanya.    
Lee berkata pengalamannya tahun lepas memberikannya pemahaman lebih baik mengenai 'bumbung dunia' itu untuk membolehkan beliau membuat persediaan lebih rapi kali ini.  
"Kali ini, saya boleh kata keyakinan itu ada," katanya.
Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan pendakian peringkat akhir ke puncak Gunung Everest ketika beliau sampai di Kem III di ketinggian 7,200 meter akibat cuaca buruk. 
Tahun ini, the Lion Mount Everest Expedition (MEE) 2017, yang dianjurkan oleh Kelab Lions Port Dickson Pantai (LCPDP) akan terdiri daripada tiga peserta termasuk Lee. 
Dua pendaki lagi ialah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, dan Chong Nyuk Kooi, 49 yang akan mengiringi Lee ke 'Base Camp' Gunung Everest sebelum Lee meneruskan pendakian ke puncak. 
Mereka akan menuju Kathmandu pada 1 April dan akan berlepas di Lukla pada 3 April. 
Lee akan membawa dua mesej penting MEE -- menggalakkan orang ramai pelbagai  peringkat umur berusaha mendapatkan kesihatan yang baik dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat.  
Ekspedisi itu juga menyeru supaya dihentikan perbuatan menggondol bukit, penebangan pokok, penebusan tanah dan pembakaran terbuka demi memelihara bumi untuk generasi masa depan.    
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment