Saturday, 11 March 2017

Era komputer Bernama...

Sistem baharu editorial Bernama -- BEST2 -- dijadual dilancarkan dengan 'Go Live' pada 1 April ini.
Ia menandakan satu lagi perkembangan bagi sistem komputer Jabatan Pengarang yang bermula pada tahun 1984.
BEST2 akan menggantikan BEST (Bernama Editorial System Terminal) yang digunakan sejak 1 Mac 2007.
BEST dibangunkan oleh anak syarikat Bernama, BESSAR, dengan kos RM12.9 juta yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. BEST2 pula dibangunkan oleh syarikat Novami Holdings Sdn Bhd.
Sejarah penggunaan komputer Jabatan Pengarang bermula dengan persediaan yang telah dijalankan berikutan pengumuman kerajaan pada 3 Julai 1983 untuk menjadikan Bernama sebagai agensi berita tunggal dalam negara menerima dan mengedar berita daripada agensi-agensi berita asing
Penggunaan awal komputer di Bernama
Bernama merasakan bahawa hanya dengan mengadakan sistem berkomputer sahajalah dapat ia memikul tanggungjawab baharu itu dengan sempurna yang dijadualkan bermula pada 1 Mei, 1984.
Kerana kesuntukan masa tender antarabangsa, nama empat pembekal yang mempunyai pengalaman membekal sistem komputer kepada agensi berita telah dicadangkan untuk pertimbangan. 
Daripada tiga pembekal berkenaan yang mengemukakan tender, Lembaga Pengelola Bernama memilih International Management and Operational System Limited, London (IMOS) pada 17 Januari 1984 untuk tujuan berkenaan.
Hasrat menggunakan komputer seiring dengan perpindahan ibupejabat Bernama dari bangunan MCOBA di Jalan Syed Putra ke bangunan sendiri, Wisma Bernama -- era baharu bagi agensi berita ini. 
Dua fungsi utama penggunaan komputer ialah membolehkan berita ditulis dan disunting melalui kaca video terminal dan berita diedar kepada pelbagai saluran secara automatik.
Pakar perunding antarabangsa, Geoffrey Thomson, yang membuat kajian berkenaan, mengesyorkan agar Bernama menggunakan sistem IMOS (Integrated Micro-Optic System). 
Ia mula dipasang di bilik berita Jabatan Pengarang di tingkat satu Wisma Bernama pada bulan Mei 1984 dan diuji pada awal Jun.
Para wartawan Bernama yang bertugas di ibu pejabat diberi latihan mengenai sistem komputer itu sebagaimana latihan yang dijalankan untuk para petugas sekarang membiasakan diri dengan BEST2.
Encik Ahmad Mustapha melancarkan
penggunaan komputer pada 17 Jun 1984
Pada pagi  Ahad, 17 Jun 1984, Pengurus Besar ketika itu, Encik Ahmad Mustapha Hassan, melancarkan sistem berharga RM2.5 juta itu dengan menekan butang komputer untuk menghantar berita pertama yang disunting secara elektronik.
Peristiwa ringkas tetapi bersejarah itu disaksikan Ketua Pengarang Encik Ahmad Rejal Arbee, para pegawai kanan Bernama serta Encik Thompson, pengarah urusan IMOS, pembekal sistem tersebut.
Sistem komputer itu mengambil-alih keseluruhan cara manual yang digunakan sebelumnya, menjadikan Bernama sebagai agensi berita nasional pertama di Asia menggunakan komputer sepenuhnya.
Pengunaan komputer membolehkan Bernama menjalankan peranan sebagai pengedar tunggal berita-berita luar negeri kepada pelanggan dalam negeri dengan jayanya.
Ia juga membolehkan Bernama menyediakan perkhidmatan berita ekonomi yang lebih menyeluruh merangkumi berita dan maklumat dari seluruh dunia serta mempercapatkan penyaluran berita kepada pihak akhbar.
Pelaksanaan projek komputer Jabatan Pengarang juga telah membuka peluang kepada Bernama mengadakan perkhidmatan baharu seperti perkhidmatan maklumat semasa (real time information services) untuk pelbagai pelanggan bukan sahaja dari kalangan akhbar dan media tetapi juga pelanggan bukan media.
Sebuah unit pemasaran telah ditubuhkan dalam bulan Julai dengan pelantikan seorang pengurus pemasaran untuk merancang strategi pemasaran serta menyelia penjualan pelbagai perkhidmatan Bernama khusus untuk pelanggan bukan media.
Pada 12 Jun 1990, Parlimen meminda Akta Bernama 1967 untuk memberikan hak eksklusif kepada Bernama menerima dan mengedar berita daripada agensi-agensi berita asing serta menceburi kegiatan perniagaan bagi menjana pendapatan.
Ini bertujuan memperluaskan sumber pendapatan Bernama supaya tidak bergantung kepada pelanggan media sahaja dalam usaha membiayai sendiri operasinya. 
Kerajaan menarik balik hak eksklusif Bernama dalam pengedaran semua berita asing yang disalurkan ke negara ini pada 20 Mac 1998.




No comments:

Post a Comment