Thursday, 16 March 2017

Bernama ibarat keluarga bagi Zarina...

Bunga ros merah dan kek coklat di'hadiahkan' secara maya kepada Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali yang tidak putus-putus menerima ucapan selamat hari lahir, menguatkan perasaan mesranya terhadap mereka. 
"Terima kasih atas ingatan sampaikan ucapan, rasa seperti keluarga dan ini yang membuatkan saya seronok bekerja dengan Bernama," kata Zarina yang telah berkhidmat selama 21 tahun dengan agensi berita ini.
"Persekitaran kerja dan kerjasama rakan sepejabat menjadikan suasana kerja seperti adik beradik," katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Bernama dan Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) di Wisma Bernama hari ini.
Sesekali beliau tersenyum melihat telefon bimbitnya dan membalas whatsapp termasuk satu ucapan berserta kisah 'Tatti Vandi' yang bertujuan menceriakannya.
Ada juga ucapan yang 'mengusik' dengan pertanyaan bila beliau akan memotong kek yang diterimanya menerusi whatsapp.
"Kita potong kek secara maya," seloroh Zarina sebagai jawapan.
Sejak menyertai Bernama pada tahun 1996 sebagai eksekutif perhubungan pemasaran (marketing communication), Zarina telah melihat Bernama berkembang dengan pesat.
Ketika mula berkhidmat di jabatan itu, yang diketuai oleh Encik S.N.Rajan sebagai pengurus kanan, produk yang ditawarkan Bernama tidaklah sebanyak sekarang.
Beliau bangga dengan kemajuan Bernama yang kini mempunyai  saluran radio dan televisyen.
Beliau bertambah bangga kerana dalam melaksanakan tugasnya, Zarina terlibat secara langsung dengan pelbagai acara penting yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan kepada Bernama.
Ini termasuk sambutan Hari Wartawan Nasional, yang julung kali diadakan tahun ini, serta program Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri pada malam ambang Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos ini.
Ini merupakan tahun keempat Bernama mengendalikan acara itu setelah pertama kali melaksanakannya di Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada tahun 2014.
"Ini menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kementerian kepada Bernama," katanya.
Satu acara lagi yang melibatkan peranan utama Unit Komunikasi Korporat ialah sambutan Ulangtahun ke-50 Jubli Emas Bernama.
Selain bertanggungjawab terhadap jemputan bagi majlis makan malam sempena sambutan itu pada 22 Mei ini, unit tersebut telah berurusan dengan  Pos Malaysia bagi mengeluarkan setem khas Jubli Emas Bernama.  


No comments:

Post a Comment