Friday, 31 March 2017

Petugas media mulakan kayuhan 300 kilometer ke Krabi..

Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM)-Vertec Central Industries (VCI) Cycling To Krabi pagi ini memulakan ekspedisi berbasikal merentasi sempadan Malaysia menuju ke Krabi, Thailand membabitkan jarak 300 kilometer.
Ekspedisi disertai 15 petugas media daripada pelbagai agensi termasuk Bernama, Bernama News Channel, Utusan Malaysia, Kosmo! dan Malaysia Gazette.
Timbalan Pengerusi KEMM, Mohd Zaki Amiruddin berkata kesemua peserta KEMM-VCI Cycling To Krabi berlepas dari Pos Imigresen Wang Kelian bermula  pada pukul 8 pagi dan dijadualkan berakhir pada 4 April. 
"Membawa mesej keamanan, kami harap program seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Thailand.
Sepanjang perjalanan menuju Krabi, mereka akan singgah di perkampungan Muslim untuk memberi sedikit sumbangan kepada masyarakat seperti di Satun, Trang dan beberapa buah lokasi.
Mohd Zaki berkata meskipun bakal menempuh pelbagai rintangan dan keadaan cuaca yang tidak menentu, para peserta tetap bersemangat kental bersesuaian dengan tugasan mereka yang sentiasa mencabar.
“Walaupun sibuk menggalas rutin harian dalam menyediakan berita terkini kepada masyarakat, petugas-petugas media juga mampu melakukan aktiviti lasak yang menguji ketahanan mental dan fizikal,” katanya.
Beliau berkata ekspedisi ini mendapat kerjasama daripada VCI Sdn Bhd sebagai penaja utama.
Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Petroliam Nasional Bhd, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jamu Mak Dara (JMD), DBI Technology Sdn Bhd, Time Reveal (M) Sdn Bhd dan Impact Media Communication (IMC) turut menjadi penaja bersama.
Majlis pelepasan peserta KEMM-VCI Cycling To Krabi disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Surau Kampung Baru Panggas, Chuping semalam.
Baginda memuji usaha petugas-petugas media itu kerana secara tidak langsung menggambarkan kecekalan dan semangat tinggi mereka yang bertungkus lumus menyediakan laporan terkini kepada masyarakat.
-- BERNAMA
  


No comments:

Post a Comment