Saturday, 25 March 2017

Hubungan baik Malaysia-Indonesia atasi radikalisme...

Oleh Azeman Ariffin
    
Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia harus dimanfaatkan bagi mengatasi masalah radikalisme dan keganasan yang membabitkan umat Islam, kata Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Rudiantara.
Beliau berkata ini kerana Malaysia dan Indonesia mempamerkan imej Islam yang sebenar iaitu umat yang cintakan kedamaian.
"Indonesia dan Malaysia adalah negara majoriti umat Islam dan hubungan baik sejak puluhan tahun antara kedua buah negara harus dimanfaatkan terutama untuk menghadapi isu radikalisme dan terorisme," katanya pada Malam Media Malaysia-Indonesia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, di Jakarta malam tadi.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Indonesia Antara adalah rakan penaja Malam Media berkenaan.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab hadir pada majlis itu.
Rudiantara berkata media dari kedua-dua buah negara itu harus mampu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam yang dianuti penduduk Indonesia dan Malaysia adalah Islam "rahmatan lil alamin" (agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan), dan bukannya membawa kekerasan atau memaksa penganut agama lain mengikut kehendak mereka.
Katanya citra Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan bagi seluruh alam perlu disebarluaskan menerusi media untuk membetulkan tanggapan salah terhadap umat Islam yang kini dilabelkan dunia barat sebagai pengganas.
Beliau juga berkata hubungan diplomatik Indonesia dan Malaysia yang telah terjalin selama 60 tahun harus terus dipelihara terutamanya menerusi peranan aktif pengamal media kedua-dua buah negara.
"Hubungan ini menjadi makin erat dengan penyertaan dari media Indonesia dan Malaysia, ini harus terus dipelihara oleh terutama Bernama dan Antara sebagai agensi berita rasmi kedua negara," katanya.
Katanya walaupun ada beberapa insiden di Malaysia yang menyinggung perasaan rakyat Indonesia, yang lebih diutamakan ialah bagaimana isu itu diselesaikan dengan baik menerusi peranan media kedua-dua negara.
Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata peranan media arus perdana kini semakin penting bagi menangani isu berita palsu menerusi media sosial.
Katanya peranan media arus utama adalah penting bagi menyiarkan berita yang benar dan sahih kerana berita palsu sekarang begitu cepat berlegar dalam media sosial.
Disebabkan itu juga katanya pihak kedutaan mengamalkan pendekatan menjadikan media sebagai rakan bagi menjelaskan sebarang isu yang timbul dan menyampaikan maklumat yang sahih. 
Zahrain turut menyampaikan plak penghargaan kepada Penasihat Kanan Antara Muhammad Saiful Hadi Chalid dan tokoh media Indonesia Allahyarham Tarman Azzam atas sumbangan mereka membantu meningkatkan hubungan Indonesia-Malaysia.
Katanya Malam media itu adalah sebagai peluncur sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini dan acara kemuncaknya ialah pada sambutan hari kebangsaan kelak.
Pada majlis itu Zahrain turut menyampaikan Anugerah Kepimpinan Global anjuran sebuah organisasi antarabangsa di Malaysia kepada penyanyi popular Indonesia Datuk Rossa.
Rossa dalam ucapan ringkasnya berkata anugerah itu membuktikan hubungan rapat antara Malaysia-Indonesia dan beliau sangat menghargai anugerah berkenaan.
Beliau turut menghiburkan tetamu dengan menyampaikan dua buah lagu dan majlis itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Perak yang dibawa oleh Tourism Malaysia.
--BERNAMA
    

No comments:

Post a Comment