Monday, 6 March 2017

Cekal menjalankan tugas....

Dua jurufotografi wanita Bernama memilih untuk tidak memandu kereta seperti biasa bagi ke tempat tugasan mereka hari ini.
Sebaliknya mereka menggunakan motosikal ke bangunan Parlimen kerana memikirkan masalah parkir yang akan dihadapi sekiranya berkereta.
Dayana Nabila berkata menggunakan motosikal lebih mudah kerana tidak susah mendapatkan parkir dalam kawasan Parlimen.
“Kami memang dah plan nak naik motosikal kerana kereta kena letak jauh di Bukit Aman,” kata Dayana yang meminjam motosikal ayahnya.
Dari rumah, beliau menunggang motosikal ke Wisma Bernama untuk mengambil rakannya Nur Ain Shafinas.
Mereka berdua ditugaskan untuk membuat liputan istiadat pembukaan persidangan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April manakala Dewan Negara bersidang selama sembilan hari dari 17 April hingga 27 April.
Kemunculan dua jurufotografi Bernama itu dengan menaiki motosikal menarik perhatian ramai sebaik sahaja mereka melepasi pondok polis di pintu masuk Parlimen.
“Ok-lah naik motosikal, cuma panas sikit,” kata Dayana yang memakai kot sebagaimana Ain untuk liputan penuh istiadat itu.
Memandangkan mereka membawa peralatan kamera yang berat dan mahal, Dayana berkata beliau perlu berhati-hati mengemudi motosikal.
“Nak kena balance motosikal dengan baik,” kata Dayana yang menunggang motosikal sejak sekolah. 
Ain berkata mereka membuat keputusan menggunakan motosikal setelah melihat sebelum ini mudah bagi rakan-rakan lelaki mendapat parkir dalam kawasan parlimen.
Mereka pernah bersama-sama menaiki motosikal untuk membuat liputan perhimpunan Rang Undang-undang 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Feb lepas.
“Ada juga sekali saya dapat assignment last minute cover PM, terpaksalah redah naik motosikal sebab kalau naik kereta, jem (sesak),” kata Ain.
“Tadi kalau naik kereta kena parkir dekat Bukit Aman…memang tak lah kalau nak berjalan (ke Parlimen),” katanya.


No comments:

Post a Comment