Wednesday, 1 March 2017

BNC tingkatkan penjenamaan...

Bernama News Channel (BNC) berusaha memperluaskan 'penjenamaannya' dengan menyertai pameran pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA).
Pameran selama tiga hari dari 24 hingga 26 Februari itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Menurut BNC, MITA  sangat  berterima kasih  kepada  BNC kerana memainkan peranan penting dalam usaha mempromosikan Pameran MITA 2017 kepada  rakyat  Malaysia.
Hebahan  promosi  dibuat melalui rancangan "talkshow", "crawler" dan temuramah di Bernama Radio.
Hasilnya, jumlah pengunjung ke pameran itu dianggarkan melebihi 30,000 orang. 
"Dalam konteks pameran MITA 2017, kami mendapati masih ramai  di  kalangan rakyat Malaysia  yang  tidak  menyedari  dan  mengetahui  mengenai  penjenamaan semula daripada Bernama TV (BTV) kepada Bernama News Channel (BNC).
"Oleh yang demikian, kami mengambil kesempatan ketika pemeran berlangsung untuk memberi penerangan kepada pengunjung-pengunjung dan sekaligus memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan BNC ini.
"Di  samping itu, kami  juga  dapat  mempromosikan  pakej-pakej  media  kepada usahawan-usahawan  yang  berminat  untuk  mendapatkan  khidmat  BNC  yang  boleh memberikan manfaat kepada pembangunan perniagaan mereka," kata BNC dalam satu kenyataan.
BNC menyatakan ia telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan MITA dengan menawarkan strategi-strategi media dalam usaha membangunkan serta memajukan produk dan  perkhidmatan  pelancongan  domestik dalam  jangkamasa yang panjang.
Semasa Pameran MITA, BNC berpeluang untuk mempromosikan pakej-pakej yang ditawarkan Bernama kepada pengusaha-pengusaha produk dan perkhidmatan   berteraskan pelancongan  domestik.
Melalui koloborasi BNC-MITA, BNC berharap agar pendapatannya khusus  melalui program baharu  dan  segmen  pelancongan,  dapat ditingkatkan  selaras  dengan pembabitan  dan sokongan usahawan-usahawan pelancongan yang berdaftar di bawah MITA.
Inilah kali pertama BNC menyertai pameran bertemakan produk and perkhidmatan pelancongan. Sebelum  ini,  BNC  pernah mengambil bahagian dalam pameran-pameran seperti Perhimpunan Agung Umno 2016, Program Negaraku: Komuniti 1 Malaysia di Pekan, Pahang dan Indian Celebrity Badminton League 2016. 
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, yang turut mengunjungi 'booth' BNC, memuji kerjasama yang dijalinkan antara BNC dan MITA dalam mempromosikan sektor pelancongan domestik di kalangan rakyat Malaysia dan bakal pelancong dari luar negara seperti China, Korea Selatan dan negara-negara timur tengah. 
Beliau berharap agar kerjasama ini dapat diperkukuhkan lagi demi  pembangunan sektor pelancongan negara selaras  dengan kebolehan dan keupayaan BNC.

No comments:

Post a Comment