Wednesday, 15 March 2017

Terharu lihat logo Bernama...

Sekian lama logo ciptaannya masih digunakan, tentunya Encik Shahnan Abdullah berasa bangga. 
"Setiap kali saya ternampak logo Bernama, saya rasa terharu kerana saya tidak sangka rekaan saya akan digunakan sebegitu lama.
"Malah apabila cucu saya ternampak logo Bernama, dia akan tunjuk dan berkata "itu tok buat kan?". 
"Walaupun rekaan itu sudah berusia tetapi ia masih digunakan lagi, mungkin ada sesuatu yang istimewa pada logo itu yang Bernama nampak sehingga ia boleh dipertahankan," katanya kepada Bernama dalam temubual khas sempena sambutan Jubli Emas Bernama pada Mei ini. Logo itu dicipta pada tahun 1975.
Bapa kepada tiga orang anak itu bagaimanapun akur sekiranya Bernama memilih untuk menukar logonya seiring dengan peredaran zaman dan teknologi media.
"Harapan saya mestilah mahu logo ciptaan saya digunakan dengan lebih lama lagi, mudah-mudahan kalau boleh hingga cicit saya pula boleh lihat. 
"Namun tidak salah untuk menambah baik mengikut peredaran semasa, bolehlah buat perubahan pada cara persembahan, mungkin dengan latar belakang kristal ke, atau benda yang timbul," katanya. 
Mengimbau kenangan, beliau teringat ketika jari-jemarinya membelek sekeping pita 'teleprinter' lalu melipat-lipatkannya sehingga membentuk huruf B. 
Hasratnya mahu menyertai peraduan mencipta logo anjuran Bernama yang tarikh tutupnya hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Hadiah yang ditawarkan agak lumayan. 
Tanpa diduga idea spontan 42 tahun lalu itu menyaksikan simbol 'B' hasil ciptaannya memenangi pertandingan mencipta logo Bernama yang berlangsung dari 15 Februari hingga 30 April 1975.
Beliau memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dalam peraduan yang menarik 264 penyertaan dari seluruh negara. 
Sebelum itu, Bernama tidak mempunyai logo dan hanya menggunakan perkataan BERNAMA berwarna jingga. 
Shahnan, yang ketika itu berusia 38 tahun dan bertugas sebagai Penolong Pelukis Rekabentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mendapat ilham kreatif itu setelah mengetahui bahawa Bernama menggunakan mesin teleprinter sebagai saluran menghantar berita. 
Lantas beliau meminta bantuan jurutaip untuk menaipkan beberapa perkataan BERNAMA di atas pita 'teleprinter' untuk digunakan sebagai rekaan logo beliau.
Kebetulan DBP menggunakan mesin taip yang menggunakan pita berkenaan ketika itu. 
Perkataan BERNAMA di atas pita berkenaaan dilihat seolah-olah corak titik.
"Corak dot (titik) di logo Bernama bukanlah dibuat secara sebarangan seperti yang mungkin difikir sesetengah orang. 
"Saya tidak pandai membacanya tetapi sekiranya ia diterjemahkan oleh mereka yang mahir membaca kod 'teleprinter', 'dot' itu sebenarnya membawa maksud Bernama," kata Shahnan yang akan menyambut hari lahirnya ke-80 pada 17 April ini.
Setelah melipat pita yang berwarna putih itu menjadi huruf 'B', beliau menampalnya di atas kertas berwarna hitam. 
"Dalam percubaan pertama saya membuat beberapa lipatan, hanya beberapa minit sahaja sudah jadi huruf 'B'. Saya menampalnya di atas sehelai kertas, saya terbalikkan warnanya supaya yang putih menjadi hitam, yang hitam menjadi putih. 
"Saya rasa ciptaan saya macam sesuai dan kebetulan masa pun sudah suntuk, saya hantarkan sahaja logo ciptaan saya ke bangunan Bernama ketika itu di Jalan Syed Putra," kata anak kelahiran Johor itu. 
Kira-kira sebulan kemudian, Shahnan mendapat panggilan daripada Bernama yang memaklumkan beliau memenangi pertandingan itu dan meminta beliau datang ke pejabat agensi berita berkenaan. 
Dalam pertemuan dengan Pengurus Besar Bernama ketika itu, Dol Ramli (Allahyarham Tan Sri), mereka berbincang mengenai perubahan warna dan penambahan perkataan BERNAMA pada logo yang direkanya. 
Bernama mencadangkan warna biru, melambangkan ketenangan warna langit dan Shahnan bersetuju dengan pilihan warna itu. 
"Saya tanya kenapa rekaan saya terpilih dan saya diberitahu ia menepati apa yang Bernama gunakan ketika itu. Semua penyertaan menggunakan logo B, tetapi tiada yang cipta B sebegitu... saya betul-betul bertuah.
"Setelah perbincangan mengenai atur letak logo, saya kemudiannya kemasi 'artwork' itu menjadi apa yang digunakan sehingga kini," kata Shahnan yang berkhidmat dengan DBP kira-kira 22 tahun sebelum bersara sebagai Pereka Grafik Kanan. 

Oleh Norshazlina Nor'azman
   

No comments:

Post a Comment