Sunday, 19 March 2017

Bernama rakan penaja Malam Media Malaysia-Indonesia...


Bernama menjadi rakan penaja Malam Media Malaysia-Indonesia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia pada 24 Mac ini.
Majlis itu akan berlangsung di Auditorium Adhiyana di Wisma Antara, Jakarta.
Bernama menjadi rakan penaja menerusi penglibatan anak syarikatnya Bessar Sdn Bhd yang menaja hadiah-hadiah utama cabutan bertuah manakala Pewarta Bernama di Indonesia Azeman Ariffin adalah antara peneraju penganjur.
Sebagai penghargaan penglibatan Bernama, pihak menganjur mencetak logo Bernama bersama lambang jata negara yang menjadi lambang kedutaan besar Malaysia dan juga logo kantor berita Antara pada banner majlis itu sebagai latar belakang pentas.
Logo Bernama juga dicetak dalam poster back drop untuk "permaidani merah" bagi membolehkan orang ramai berfoto sebagai kenang-kenangan malam media itu.
Jenama Bernama menjadi kukuh di Indonesia apabila ia terpapar dengan megah sebagai back drop untuk tetamu termasuk pemimpin-pemimpin redaksi di Indonesia mengambil foto sebagai kenangan.
Malam media Malaysia-Indonesia itu julung kali diadakan dalam skala besar dengan undangan tetamu kira-kira 250 orang. Tetamu terhormat ialah Menteri Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia Rudiantara.
Turut diundang ialah ketua-ketua pengarang, wartawan Indonesia dan Malaysia termasuk Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab. 
Malam media itu merupakan "kick off" sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini. Acara kemuncaknya ialah sempena sambutan hari kebangsaan kelak.
Dalam majlis itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan melancarkan sambutan 60 tahun tersebut dan satu tayangan motaj mengenai sejarah 60 tahun hubungan Malaysia-Indonesia akan diluncurkan pada malam itu. 
Azeman berkata Zahrain pernah meraikan para pengamal media di kediaman rasminya tetapi secara sederhana.
Azeman telah mencadangkan supaya diadakan malam media bertaraf kedutaan Malaysia dengan mendapatkan tajaan pihak luar.
Bessar dan Bernama News Channel tampil menjadi penaja hadiah cabutan bertuah walaupun dihubungi dalam masa yang singkat.
Biro Bernama Jakarta membantu perancangan majlis dengan menyediakan kertas kerja manakala pihak kedutaan kemudian melaksanakannya dengan penglibatan semua ketua dan wakil-wakil jabatan yang beroperasi di kedutaan.
Bersesuaian dengan tema "Malam Malaysia", majlis itu akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan kesenian dari Perak yang dibawa khas Tourism Malaysia di Jakarta.
Antara pengisian malam media itu ialah penganugerahan tokoh media bagi mengiktiraf sumbangan tokoh wartawan di Indonesia yang banyak memberikan sumbangan dalam usaha mengeratkan hubungan antara Malaysia-Indonesia menerusi media massa.
Penyanyi popular Indonesia Datuk Rossa turut diundang bagi menerima satu anugerah khas anjuran kerajaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment