Tuesday, 7 March 2017

Peranan media sampaikan maklumat tepat...

Foto Bernama
Media arus perdana memainkan peranan penting sebagai 'gatekeeper' dan penyunting yang menyampaikan dan menyebarkan maklumat tepat tentang dasar dan usaha kerajaan.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata masyarakat hari ini berdepan pelbagai jenis media baharu yang banyak menyalurkan berita tidak rasmi dengan kesahihannya diragukan.
"Sebagai contoh, dalam kes-kes melibatkan siasatan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada pengamal media sosial picisan yang mendedahkan nama dan identiti secara langsung atau sebaliknya.
"Sedangkan pengamal media arus perdana masih mengekalkan etika kewartawanan yang baik. Tidak mendedahkan secara langsung atau tidak Orang Yang Disyaki (OYDS), tidak menunjukkan gambar secara terang-terangan dan wajah dikaburkan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor di Johor Bahru malam ini.
Mohamed Khaled berkata jika hal itu tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan menimbulkan rasa gusar dan persepsi tidak tepat rakyat mengenai sesuatu perkara.
"Lebih memburukkan, apabila penyebaran sesuatu berita itu bersifat memfitnah, berniat buruk serta melanggar etika pemberitaan dengan melontarkan persepsi negatif, memburuk-burukkan dan menghukum tanpa kebenaran aspek perundangan.
"Media juga memikul tanggungjawab serta amanah penting dalam menyuburkan rasa tenteram dan muafakat dalam kalangan masyarakat yang menuntut untuk sentiasa meneliti bahan ataupun sumber berita yang diterima," katanya.
Mohamed Khaled berkata itulah karakter dan etika yang masih terus dipegang pengamal media arus perdana yang membuat berita berlandaskan pandu arah kredibiliti dan pengetahuan khas kewartawanan sebenar.
"Inilah peranan sebenar petugas media. Peranan penting yang menentukan apa jua berita yang ingin disebarkan, dilakukan dengan mengambil kira setiap aspek perundangan, sensitiviti, keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment