Monday 22 May 2017

Setiap petugas Bernama penting, kata Pengurus Besar

Setiap petugas Bernama adalah penting untuk kejayaan organisasi ini yang meraikan sambutan ulangtahun ke-50.
"Dari telefonis, penyunting, editor, tukang make-up ...., semua adalah penting sebab ia adalah satu sistem," kata Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh ketika diwawancara dalam rancangan NINE11 Bernama News Channel (BNC) pagi ini.
Kelemahan satu-satu sistem akan mencacatkan organisasi dan kerana itulah setiap petugas adalah penting dengan mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi untuk berkhidmat.
"Kalau pemandu merasakan dia tidak penting dan cuai, wartawan yang dibawanya ke tempat kejadian akan sampai lambat dan Bernama akan dianggap gagal," katanya.
Ditanya mengenai perkembangan Bernama sejak mula beroperasi pada 20 Mei 1968, Datuk Zulkefli berkata Bernama telah dan akan terus menyiarkan berita dan maklumat yang benar dan sahih kerana kewibawaan menjadi tunjang kepadanya sebagai agensi berita.
"Selagi Bernama mengamalkan kewartawanan beretika selagi itulah Bernama menjadi relevan.
"Tidak pernah satu haripun Bernama tidak mengeluarkan berita dan maklumat...," katanya.


Beliau juga berkata langkah Bernama mewujudkan saluran radio dan televisyen bukan berniat untuk bersaing sama ada dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau TV3.
"Kami berperanan untuk complement  atau melengkapi mereka untuk membolehkan maklumat diterima oleh khalayak dalam platform berkenaan," katanya.
Kerana itu jugalah Bernama berusaha memuatnaik maklumat menerusi media sosial agar generasi Y memperolehi maklumat yang sahih dan perlu untuk mereka.
Datuk Zulkefli berkata Bernama juga tidak mahu bersaing dengan Reuters dan AFP kerana mereka adalah agensi berita antarabangsa sedangkan Bernama bercorak nasional.
"Kita akan berpuas-hati sekiranya Reuters memetik berita mengenai Malaysia daripada Bernama," katanya.
Beliau memberi contoh mengenai banjir besar di Pantai Timur tidak lama dahulu yang menyebabkan banyak berita palsu disiarkan di media sosial.
Bernama  bertindak pantas dengan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa untuk melaporkan apa yang sebenarnya berlaku.
Ditanya mengenai masa depan Bernama terutama dalam Transformasi Nasional 2050, Datuk Zulkefli berharap Bernama akan terus memainkan peranan dengan mengambilkira keperluan rakyat dan mengambil langkah yang sesuai dari sekarang.
"Kalau rakyat mahu melihat berita di smartphone, kita harus menggunakan teknologi itu...(jangan) seperti dinasour yang besar, gagah perkasa tidak mahu berubah, dinasour telah pupus tapi lipas yang kecil masih kekal sehingga ke hari ini," katanya.
Mengenai mentornya sejak menyertai Bernama, Datuk Zulkefli yang telah berkhidmat selama 38 tahun dengan Bernama berkata semua seniornya menjadi mentor.
"Setiap seorang ada kelebihannya dan kelebihan itulah yang saya ambil," katanya. 
Bernama akan mengadakan jamuan bagi meraikan sambutan Ulangtahun ke-50 di Dewan Perdana Felda malam ini. 

No comments:

Post a Comment