Wednesday 17 May 2017

"Jodoh" 40 Tahun Dengan Bernama...


Oleh Melati Mohd Ariff

Apabila beliau bersara pada Julai 2018, Mohd Wahid Mdsom akan mencatatkan perkhidmatan lebih 40 tahun dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Tempoh perkhidmatan yang panjang itu menunjukkan betapa Pembantu Tadbir Pusat Maklumat Berita dan Perpustakaan Bernama atau ringkasnya InfoLib itu menyayangi pekerjaannya.
Ia juga membuktikan betapa anak kelahiran Kampung Rincing Hilir, Bangi, Kajang, Selangor ini menyantuni organisasi yang menjadi tempat beliau mencari rezeki sejak berusia sekitar 18 tahun.
"Saya hanya berkelulusan SPM, gred tak memuaskan. Saya sedar dengan keadaan saya maka saya mesti bekerja bersungguh-sungguh. Keluarga saya pun susah. Ayah saya buruh kasar dan emak pula penoreh getah.
Kesusahan hidup masa kecil menjadikan saya bekerja pada usia yang muda untuk membantu keluarga. Sebelum bekerja dengan Bernama saya kerja di kilang papan di Klang," kata anak ke-9 daripada 10 beradik ini (enam perempuan dan empat lelaki), " katanya ketika di wawancara baru-baru ini.
Ayah beliau, Mdsom Dollah Sarjat berasal dari Jawa Tengah sementara ibunya, Sariah Jimun adalah anak tempatan Kampung Rincing Hilir.
Menurut Mohd Wahid, ayahnya meninggal dunia ketika berusia 73 tahun sementara ibunya pula kembali ke Rahmatullah pada usia 83 tahun kerana penyakit darah tinggi.

KEMISKINAN HIDUP AJAR BERDIKARI

Mohd Wahid belajar berdikari sedari kecil. Beliau tidak pernah menyesali hidupnya walaupun terpaksa memerah keringat membantu ibunya menoreh getah.
"Saya lihat emak dan ayah saya tak pernah mengeluh, sentiasa tekun bekerja untuk membesarkan kami adik-beradik.
"Emak terus menoreh getah sendirian selepas saya memasuki sekolah menengah dan hanya berhenti bila ada abang serta kakak yang sudah bekerja dan boleh menghulurkan sedikit wang untuk emak," tambahnya.
Selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Wahid membuat keputusan untuk bekerja meskipun abang sulung, Sangit mahu dia mengambil semula peperiksaan SPM.
"Saya beritahu abang saya mahu bekerja dan tolong emak dan ayah," katanya.
Pekerjaan pertamanya ialah sebagai mesin operator di sebuah kilang papan di Klang dengan gaji bulanan RM180. Usianya ketika itu 17 tahun.
Beliau yang mendaftar dengan pejabat Buruh Jalan Ipoh kemudiannya menerima tawaran kerja sebagai wakil jualan syarikat insurans AIA, Jalan Ampang.
"Saya pergi temu duga dan diberitahu gaji pokok rendah tetapi boleh dapat banyak komisyen bergantung kepada banyak insurans yang saya dapat jual.
"Sepanjang jalan pulang selepas temu duga, abang saya Mokhlas (bekerja di Mardi) nasihat saya supaya jangan ambil tawaran kerja itu kerana saya bukan pandai bercakap. Jadi saya tolak tawaran kerja AIA," kata Mohd Wahid.
Sebulan selepas itu, beliau mendapat panggilan daripada Jabatan Buruh memberitahu ada tawaran kerja dari Bernama sebagai 'paster'.
" Saya masih ingat ada dua orang yang temu duga saya iaitu Puan Rokiah Jono (pembantu Sumber Manusia) dan Puan Zaleha (bahagian perpustakaan). Mereka letak dua suratkhabar di depan saya; satu Utusan Melayu (tulisan Jawi) dan New Straits Times (bahasa Inggeris). Mereks suruh saya baca.
"Sebenarnya saya pun tak tahu apa tugas paster. Saya pun tak tahu apa itu Bernama setakat nama penuhnya yang saya lihat pada surat tawaran kerja. Alhamdulillah saya dapat kerja itu," kata Mohd Wahid.

SEMANGAT KERJA BERPASUKAN

Mohd Wahid mula bertugas dengan Bernama pada 20 Nov,1976. Nombor pekerjanya 157. Pada masa itu, Bernama beroperasi di Wisma Belia, Jalan Syed Putra.
Gaji permulaan di bawah kategori pembantu am rendah RM120 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM30.
"Saya mengambil bas dari rumah saya di Kampung Rincing sekitar pukul 6.30 pagi dan sampai di Hentian Pudu Raya pukul 8.00 pagi. Tambang bas dalam RM1.70 sen dan kemudian berjalan kaki ke Perhentian Bas Klang dan mengambil bas (tambang 15 sen) yang lalu di depan Wisma Belia," katanya.
Pada hari pertama melapor diri beliau diberi "hadiah" gunting dan stapler. Ada dua orang pekerja senior, Ariff (sudah bersara) dan Azmi (bersara awal). Ketua Perpustakaan masa itu Cecilia Tan.
"Ariff banyak beri saya tunjuk ajar. Apa yang perlu saya buat tampal keratan berita atas kertas A4. Pada permulaannya memang terasa janggal buat kerja ini. Yang bagusnya sambil buat potongan akhbar boleh baca berita, tambah pengetahuan am.
"Semasa pegang jawatan paster saya pohon jawatan kerani rendah tapi saya gagal Bahasa Inggeris. Saya tak putus asa, kali kedua memohon untuk jawatan kerani rendah perpustakaan, saya berjaya," kata Mohd Wahid dan menambah kata, operasi Bernama berpindah dari Wisma Belia ke Bangunan MCOBA Jalan Syed Putra pada 1978.
Pada 29 April, 1984, Bernama memulakan operasi di bangunan sendiri, Wisma Bernama yang dibina dengan kos sekitar RM23 juta.
Banyak pengalaman menarik diabadikan dalam lipatan sejarah 40 tahun bekerja dengan InfoLib Bernama. Paling dekat di hati beliau ialah semangat kerja berpasukan yang kental dalam kalangan pekerja di bahagian perpustakaan yang lebih dikenali sebagai Infolib.
Meskipun beliau pernah ditawarkan untuk bertukar ke Biro Bernama Putrajaya tetapi beliau lebih selesa bertugas di ibu pejabat Bernama Jalan Tun Razak.
Ada dua ketika di mana Mohd Wahid memohon jawatan lain iaitu selepas berkahwin dan lebih kepada keperluan untuk menguruskan anak-anaknya. Beliau mempunyai lima orang cahaya mata.
Hubungan erat beliau dengan kakitangan Infolib yang dianggap sebagai adik atau anak banyak membantu apabila beliau kehilangan dua orang tersayang pada tahun 2011.
"Tahun 2011 adalah tahun paling sedih dan sukar bagi saya. Isteri saya Siti Halimah Buyong meninggal dunia pada bulan Mac akibat sakit darah tinggi sementara anak sulung saya, Siti Rosmahanafi meninggal dunia pada bulan Disember juga sakit darah tinggi.
"Rakan-rakan di pejabat banyak bagi semangat dan kekuatan serta sokongan," kata Mohd Wahid merancang untuk membuka gerai menjual minuman termasuk cendul selepas bersara nanti.
Pesan beliau khusus untuk anak muda, " kita perlu ada sifat sabar; sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
"Bagi saya, apa pun pekerjaan yang kita lakukan, lakukanlah yang terbaik; insya-Allah kita boleh meningkat maju," katanya dengan menambah kata beliau berharap Bernama akan lebih hebat dan cemerlang dalam kepesatan teknologi masa kini serta dapat bersaing dengan syarikat berita lain.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment