Thursday 25 May 2017

Kreativiti terserlah dalam foto dan pakaian terbaik Jubli Emas Bernama...

Kunjungan ke Pulau Tioman untuk menyelam bagi menghilangkan tekanan kerja membawa tuah kepada Noor Mahirah Mat Dan dari Bahagian Jualan Nasional.
Beliau mengabadikan saat itu dengan foto yang dikemukakan untuk peraduan Instagram sempena sambutan Ulangtahun ke-50 Bernama.
Foto itu memenangi hadiah pertama yang diumumkan pada jamuan malam gilang-gemilang sambutan Jubli Emas itu di Dewan Perdana Felda pada malam Isnin lepas.
“Tentunya saya gembira dipilih dan dihargai…bukan sesuatu yang mudah untuk merakam gambar di dalam air,” kata Mahirah.
Idea untuk foto itu timbul secara tidak sengaja.
“Mula-mula saya nak hilangkan tekanan kerja pergi menyelam ke Tioman pada hari Jumaat malam dan naik bas secara solo.
“Kemudian ketika menyelam terlihat ada beberapa student diver lain yang sedang menjawab soalan di dalam air dengan menggunakan papan putih. Terlintas di hati saya menulis 50 Tahun Bernama di atas papan tersebut,” katanya.
Mahirah kerap menyelam sebagai hobi sejak memperolehi lesen  ”open water” pada tahun 2015 dan lesen tahap seterusnya daripada PADI (Professional Association of Diving Instructors).
“Saya buat aktiviti menyelam ini dalam dan luar negara…luar negara seperti Indonesia (Acheh), Filipina dan Maldives.
“Berenang dan menyelam merupakan sunnah yang menyihatkan dan menenangkan,” katanya.
Mahirah, yang telah berkhidmat dengan Bernama selama empat tahun lima bulan, berkata beliau amat bangga menjadi warga Bernama.
“…saya kira pujian harus diberikan kepada semua warga Bernama atas pengorbanan yang mereka telah lakukan bagi memastikan Bernama sentiasa cemerlang dalam memberikan perkhidmatan menyalurkan berita cepat, tepat, adil kepada masyarakat dan pengamal korporat,” katanya.
Nurul Akiera Zakaria, yang memenangi hadiah pakaian wanita terbaik pada malam itu, berkata perasaannya antara terkejut dan gembira.
“Terkejut tu lagi banyak sebab memang tak jangkapun akan menang memandangkan lagi ramai yang cantik malam tu. Tapi Alhamdulillah saya bersyukur kerana dipilih oleh panel juri. 
“Idea baju tu datang daripada suami saya sebenarnya. Encik Mohd Zaki (Mohd Nor). Beliau yang banyak menyumbangkan idea dari segi pemilihan kain, gabungan warna, corak dan aksesori,” katanya.
Akiera telah berkhidmat di Jabatan Kewangan dan Akaun selama 1 tahun 9 bulan dan bertemu jodoh di organisasi ini dengan Zaki yang kini bertugas dengan Bahagian Pengurusan Harta dan Pentadbiran. 
“Saya berharap agar Bernama akan terus menjadi agensi berita terunggul di persada antarabangsa dan sentiasa berdiri teguh dalam menyumbangkan berita dalam dan luar negara,” katanya.
Pemenang pakaian lelaki terbaik Amarul Nakhim Ahmad berkata beliau juga bersyukur dan berterima kasih atas kemenangan itu.
“Kemenangan ini terlalu istimewa kerana berjaya terpilih pada ulangtahun bersejarah ke-50 Jubli Emas Bernama. Terima kasih kepada juri,” katanya.
“Idea untuk pakaian itu tercetus kerana sempena 50 tahun Bernama ditubuhkan, saya ingin mencipta sesuatu kelainan yang unik dalam pakaian saya dengan menggabungkan perkataan Bernama dan angka 50 di bahagian hadapan dan belakang blazer untuk menyemarakkan lagi semangat ulangtahun ke-50 tahun ini sebagai penghargaan saya kepada Bernama,”katanya.
“Rekaan dan jahitan sulaman ini siap dihasilkan dalam tempoh sebulan lebih,” kata Amarul yang telah berkhidmat dengan Bernama selama 17 tahun.
“Sebagai kakitangan Bernama, saya bersemangat untuk membuktikan bahawa saya sentiasa bersedia untuk berhadapan cabaran dan rintangan ketika bertugas demi menghasilkan kerjaya yang berkualiti dan dengan harapan untuk membawa Bernama menjadi media yang terunggul negara serta kekal keramat dalam memenuhi legasi masa depan,” kata Amarul yang bertugas dengan Unit Pemasaran Foto, Jabatan Niaga. 


1 comment: