Dari kiri: Linda Khoo, Nur Firdaus, Akmar, Noor Shamsiah dan Mohamad Hafiz (Foto Bernama) |
Peserta-peserta Cabaran Annapurna 2017 Media bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berjaya menawan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal, Ahad lepas selamat tiba di tanah air malam ini.
Ketibaan para peserta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu disambut Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.
Akmar berkata pencapaian yang dilakukan oleh para peserta merupakan sesuatu yang luar biasa apatah lagi ianya telah berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records bagi kategori peserta paling ramai dari Malaysia berjaya menawan ABC.
Kumpulan ekspedisi itu terdiri daripada 31 pengamal media serta 21 anggota dan pegawai bomba dan lima wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lima lagi wakil belia, memulakan pendakian pada 27 April lepas.
Turut menyertai misi tersebut adalah empat wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) iaitu Noor Shamsiah Mohamad (Biro Pahang), Nur Firdaus Abdul Rahim (Biro Terengganu), Linda Khoo (Biro Putrajaya), dan Mohamad Hafiz Abas (pemberita sambilan).
"Misi ini merupakan satu gabungan yang begitu berbeza kerana selama ini kita hanya berhubung dengan pihak bomba dan KKM apabila berlaku kemalangan atau penyakit dan kali ini mereka bergabung untuk menyelesaikan misi yang sama.
Malah sudah pastinya bukan mudah untuk membawa jumlah ahli yang ramai untuk ke sana," kata Akmar kepada media di KLIA.
Pada Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan tahniah menerusi catatat Twitternya kepada peserta yang berjaya menawan ABC.
Semua peserta berjaya tiba di ABC dengan selamat pada 2 petang waktu Nepal, Ahad lepas.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment