Tuesday 30 May 2017

Ron Goodwin dan nostalgia puasa…

Setiap kali Ramadan bertandang, nostalgia yang terpendam muncul kembali bagi Editor Foto, Adnan Jahaya terutama sewaktu zaman kanak-kanaknya. 
“Ketika itu tidak sabar menunggu petang untuk berbuka dengan air serbat berperisa sirap ros dengan bengkang ubi….bagaikan tidak lengkap hari pertama puasa tanpa nasi ulam,” katanya.
Setiap Ramadan juga beliau menunggu alunan ayat suci oleh qari tersohor dunia Sheikh Mahmood Khalil Kushairy dan irama padang pasir yang digarap indah oleh orkestra pimpinan Ron Goodwin menerusi radio.
“Saya amat suka lagu-lagu tu. Mengimbau nostalgia dengan irama padang pasir walaupun pemimpin orkestra orang England.
Satu daripada lagu yang diminatinya ialah Al Bint El Shalabiya (The Girl From Shalabiya).
“Lagu ini menggamit nostalgia. Pertama kali mendengar ketika arwah bapa membeli sebuah radio. Masih ingat bagaimana radio itu yang dibalut dengan kain batik, diikat kuat di atas pelantar basikal. Apabila radio bersaiz besar tu dibawa naik atas rumah, bapa mula mengisi bateri di dalam kompatmen luar radio.
Sekitar 12 biji bateri warna merah cap lima ekor kambing dengan jenama five rams. Sebaik sahaja radio berbunyi terdengar lagu ini. Kami beberapa beradik berhimpun keliling radio dan akan mendengar apa pulak selepas tu. Saya tak ingat jenama radio tu.
Masa itu sekitar tahun 1968 sebab saya dah boleh membaca. Dah sekolah darjah satu. Dok ingat arwah selalu tanya "dia tulis apa" kat kertas manual radio. Saya hanya baca bagi dia dengar tapi tak faham. Saya pun tak pasti bapa faham atau tidak tapi cubaan kali pertama, radio tak berbunyi sebab pasang bateri tak betul dalam kompatmen
Masa tu orang kampung fikir lagu tu adalah lagu khusus bulan puasa. Saya pula tahu siapa pemimpin orkestra tu apabila kakak saya yang baru tamat belajar di Australia kata lagu tu bukan orang Arab punya.
Saya terlopong seketika kerana saya sangka semua lagu irama padang pasir datang dari negara Arab," katanya

.

No comments:

Post a Comment