Friday 5 May 2017

MTDC Mahu Kepentingan Inovasi Terus Dipromosikan...

Oleh Zarul Effendi Razali
Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)  menyifatkan perkongsian maklumat yang berterusan melalui media massa mengenai pentingnya inovasi, berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha dan inisiatifnya dalam mempromosi syarikat-syarikat teknologi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berpendapat tindakan untuk meningkatkan penggunaan inovasi dan teknologi sangat penting, terutama untuk bersaing di peringkat global selain menambah nilai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. 
Katanya  melalui perkongsian maklumat, terutama dalam bidang inovasi juga dapat memacu pembangunan dan perkembangan sektor inovasi pada masa akan datang.
Sejak ditubuhkan pada 1993, MTDC berjaya membantu kira-kira 500 syarikat tempatan, sama ada yang baru beroperasi atau yang telah mula bertapak dan mencipta nama untuk menjalankan kajian dan penyelidikan yang berpaksikan kepada produk inovasi.
Sebagai contoh,  beliau berkata kerjasama antara MTDC  dan Pertubuhan Berita Nasional Nasional Malaysia (Bernama) yang terjalin sejak 2016,  berjaya memperkenalkan industri inovasi secara meluas kepada masyarakat.
Untuk itu,  Norhalim yang sangat berpuas hati terhadap kerjasama ini melihat agensi berita berkenaan sebagai satu medium penting untuknya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan MTDC, terutama yang melibatkan inovasi.
"Bernama mempunyai pelbagai bentuk medium penyebaran maklumat, termasuk radio, tv dan portal berita, dan saya melihat kerjasama antara kedua-dua agensi ini sebagai jalinan strategik kerana kedua-duanya mempunyai objektif yang sama dalam konteks pembangunan negara.
"Kerjasama seumpama ini penting dalam usaha kami di MTDC untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan inovasi di dalam negara kepada masyarakat," katanya dalam satu temu bual sempena Jubli Emas Bernama yang akan disambut bulan ini.
Melalui kerjasama ini juga, MTDC merancang melahirkan  para usahawan dan pakar teknologi yang boleh dijadikan sebagai ikon untuk masyarakat, terutama dalam kalangan golongan muda untuk menceburi bidang inovasi.
Selain Bernama, Norhalim turut melihat kemungkinan pihak media lain secara amnya, untuk membangunkan ruang atau segmen khusus mengenai pendedahan kepada inovasi dan keusahawanan yang kini masih di peringkat rendah.
"Ada peluang besar untuk kita memainkan peranan dengan membangunkan produk media yang mengkhususkan bidang keusahawanan inovasi ini ... kita boleh ceritakan kisah-kisah rakyat yang terlibat dalam bidang ini secara lebih meluas.
"Kita memerlukan pelbagai lapisan inovasi yang mengikut kehendak dan ekosistem di dalam negara kita yang mampu memberi impak yang amat tinggi kepada golongan berpendapatan rendah (B40), sebagai contoh," katanya.
Kerjasama  antara MTDC dan Bernama terjalin pada Julai 2016 menerusi  kempen kerjasama integrasi media selama setahun bermula Ogos 2016 sehingga September tahun ini.  Ia merangkumi pakej integrasi dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berita berkenaan seperti editorial, tv, radio, portal dan sebagainya.
"(Seperti sekarang), MTDC mempunyai satu program di Bernama News Channel yang memaparkan contoh-contoh usahawan muda yang sudah mula bertapak dalam bidang inovasi ini. Mereka ini mungkin belum mencapai tahap yang tinggi tetapi sudah melepasi 'death valley'," katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment