Sunday 21 May 2017

KM Sabah Mahu Bernama Perbanyakkan Berita Pembangunan Negeri...

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyarankan agar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memperbanyakan pengeluaran berita mengenai pembangunan, khususnya di negeri Sabah.
Musa berkata berita seperti itu perlu supaya rakyat mengetahui bahawa telah banyak usaha pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan, bukan sahaja kepada negeri tetapi juga kepada peningkatan kesejahteraan dan sosio-ekonomi rakyat.
"Terima kasih dan penghargaan kepada Bernama atas peranan dan sumbangannya kepada pembangunan negeri Sabah selama ini.
"(Bernama telah menghasilkan) berita-berita dari segi pembangunan dan pentingnya rakyat mempunyai kesedaran untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan," katanya kepada Bernama sempena sambutan Ulang Tahun Bernama ke-50 tahun ini.
Menurutnya, media sememangnya memainkan peranan amat penting untuk membantu kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri berjalan lancar dan keharmonian terus terpelihara.
"Sebagai sebuah agensi media rasmi, Bernama berjaya mengajak rakyat untuk sama-sama memastikan perpaduan dan keharmonian, kestabilan politik dan kemakmuran yang kita kecapi kini terus dipelihara dan dipertahankan untuk kita dan generasi akan datang," katanya.
Musa mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-50 kepada seluruh warga Bernama.
"Semoga terus berjaya dan cemerlang," kata Musa.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment