Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menyambut ulang tahun ke-50 dua hari lepas berjaya mengubah platformnya berdasarkan khalayak masa kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata seperti Bernama, semua agensi kerajaan di negara ini perlu mengubah acuan mereka berdasarkan khalayak terkini bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan kerajaan dipercayai serta sampai ke khalayak lebih besar.
"Kita ada media tradisional dan media baharu, itu sebabnya walaupun saya tidak datang ke majlis Bernama malam ini, tetapi saya yakin Bernama mempunyai likes antara 2.5 juta dan 2.8 juta, dan merupakan sebuah organisasi yang diterima bukan sahaja di rantau ini tetapi di seantero dunia...itulah lebihnya Bernama untuk tempoh 50 tahun.
"Walaupun saya tidak bersama mereka (Bernama) malam ini, roh saya bersama mereka...mereka telah berjaya mengubah acuannya,” katanya sambil menyifatkan platform media baharu Bernama antara terbaik di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) 2017 di Alor Gajah, Melaka. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Bernama yang mula beroperasi pada 20 Mei 1968, mengadakan majlis makan malam hari ini bagi menyambut ulang tahun Jubli Emas agensi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata acuan itu perlu berubah kerana khalayak pada masa sekarang tidak sama seperti khalayak pada masa lampau.
"Teruskanlah usaha mengubah acuan itu...media sosial yang dikendalikan pegawai Jasa mendapat ‘hit’ yang terbaik di negara ini,..ini suatu pendekatan baharu teruskan jangan biar orang serang kita...jangan biarkan kita terlalu bertahan.
"Di dalam peperangan, saraf pertahanan yang terbaik adalah menyerang ...saya harap Jasa buktikan kita tidak akan tersandar sekali lagi, kita telah bangun sebagai pejuang kepada kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment