Pencipta logo Bernama, Sahnan Abdullah, bangga kerana logo ciptaannya itu terus diguna agensi berita ini sejak 1975.
Menurutnya, beliau terharu apabila logo ciptaannya masih digunakan dan berharap ia akan terus dikekalkan.
Pada masa sama, Sahnan, 80, turut menyarankan agar logo itu ditambah baik dengan huruf ‘B’ ditimbulkan dan ditukar kepada warna emas serta mengekalkan latar belakang warna biru.
"Warna emas itu sebagai simbolik kerana emas berharga dan disanjung, maka ia amat relevan dengan Bernama sebagai sebuah agensi berita tempatan yang dikenali di dunia," katanya yang menerima Anugerah Khas (Pencipta Logo Bernama) pada majlis sambutan Ulang Tahun Bernama ke-50 malam ini.
Sahnan memenangi pertandingan mencipta logo Bernama yang berlangsung dari 15 Feb hingga 30 April 1975.
Sebelum mempunyai logo yang dicipta khas itu, Bernama menggunakan perkataan ‘BERNAMA’ berwarna jingga.
Sahnan, yang waktu itu berusia 38 tahun dan bertugas sebagai Penolong Pelukis Reka Bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mendapat ilham tersebut setelah mengetahui agensi berita ini menggunakan mesin teleprinter sebagai medium menghantar maklumat pada ketika itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment