Tuesday 2 May 2017

Bernama dan agensi berita Bahrain tingkat kerjasama...

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menerima kunjungan Menteri Komunikasi Bahrain Ali Mohammed Al Rumaihi di pejabatnya di Putrajaya.
Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu antara lain membincangkan kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Bahrain (BNA).
Salleh berkata beliau dan Ali bersetuju agar kedua-dua agensi itu meningkatkan kerjasama yang telah sedia wujud sejak 2014, terutamanya dalam bidang penyiaran, pertukaran dokumentari dan pertukaran wartawan.
Beliau turut mengalu-mengalukan kedatangan delegasi BNA ke negara ini tidak lama lagi bagi meningkatkan kerjasama antara agensi itu dengan Bernama.
Bernama dan BNA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersempena Mesyuarat ke-37 Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Pasifik (OANA) di Bahrain pada Jun 2014 dalam bidang pertukaran berita.
Ali merupakan antara menteri Kabinet Bahrain yang turut serta dalam delegasi Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa yang mengadakan lawatan negara di Malaysia bermula 30 April hingga esok.
Lawatan tersebut adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan yang pertama dilakukan ketua negara itu sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1974.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment