Friday 26 May 2017

Bernama, Jakim dan DagangHalal Terbit Program Halal360

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan DagangHalal Sdn Bhd (DagangHalal) bagi penerbitan program televisyen Halal360 di Bernama News Channel (BNC).
MoU itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Pengerusi DagangHalal Datuk Muhadzir Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif DagangHalal Ali Sabri Sani Abdullah serta Ketua Pegawai Operasi BNC Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan disaksikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya yang akan menjadi moderator dalam program itu dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim Ustaz Mohamad Khori Md Jusoh.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Ali Sabri Sani berkata program sebanyak 13 episod itu akan bersiaran selama 39 minggu di BNC dengan setiap episod mempunyai durasi selama 24 minit.
"Program ini bertujuan memperincikan perkembangan halal di Malaysia untuk tatapan umum rakyat negara ini, selain menguatkan lagi ikatan kerjasama antara pihak DagangHalal dan Jakim bagi memartabatkan lagi kredibiliti industri halal negara," katanya.
Tambahnya, program berkonsepkan dokumentari itu akan disertakan sesi temu ramah bersama tokoh-tokoh utama negara yang membantu meningkatkan prestasi industri halal di Malaysia seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mokhtar berkata program itu diharap dapat memberi lebih banyak maklumat dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia terutama usahawan muda mengenai industri halal di negara ini.
"Peluang dalam industri halal ini amat besar. Jangan kita lihat dalam negara sahaja, kalau kita merantau ke negara luar, banyak permintaan untuk makanan halal, contohnya di benua Eropah dan negeri China.
"Permintaan terhadap produk dan makanan halal ini memang begitu banyak, jadi bagaimana kita harus mengambil peluang ini? Golongan muda boleh mencuba dengan mempelajari sedikit mengenai aspek 'packaging dan pemasaran melalui program Halal360 ini kerana potensi industri halal cukup besar," katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment