Friday, 14 April 2017

Sikap lebih terbuka terhadap media...

Ketua jabatan di setiap agensi kerajaan dan penguatkuasaan perlu bersikap lebih terbuka dan bertanggungjawab terhadap media dalam memberi respons kepada isu berkaitan dengan agensi berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam berkata sikap berterusan mendiamkan diri ketua jabatan apabila timbulnya sesuatu isu hanya akan menebalkan persepsi negatif masyarakat terhadap agensi berkenaan.
Katanya jika tidak mahu menggunakan media arus perdana, agensi berkaitan mempunyai pilihan untuk menyalurkan maklumat khususnya membabitkan sesuatu isu yang menjadi tular atau mempunyai kepentingan umum melalui laman web atau laman sosial agensi.
"Dalam hal ini, saya dapati terdapat sesetengah agensi yang mewujudkan Facebook untuk berinteraksi dengan orang awam. Namun apabila mereka memberikan pertanyaan, kerap kali agensi gagal memberi respons yang diharapkan.
"Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku jika agensi mempunyai pemantauan dan pengurusan yang baik ke atas laman web dan laman sosial mereka," katanya ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media 2017 di ibu negara malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan. 
Yaacob turut mengingatkan pengamal media bahawa nilai sebuah berita bukan terletak pada sensasi atau kontroversi sesuatu isu, tetapi pada kualiti dan kebolehpercayaan yang tinggi berita tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata media perlu bijak mengambil peranan dengan laporan yang berintegriti, berani, telus dan tepat.
Pada majlis itu, EAIC turut memberi penghargaan kepada pengamal media termasuk Ketua-ketua Pengarang organisasi media bagi menghargai hubungan kerja mereka dengan agensi tersebut sejak ia ditubuhkan.
Malam Apresiasi itu juga diadakan bersempena ulang tahun keenam EAIC yang ditubuhkan pada 1 April 2011.
    -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment