Friday, 7 April 2017

Berdepan bahaya periuk api...


Pewarta Bernama di Bangkok Mohd Haikal Isa mencatatkan pengalamannya berada di kawasan periuk api di sempadan Thai-Kemboja pada 15 dan 16 Mac lepas. 

Saya sentiasa tertunggu-tunggu sebarang tugasan yang menyebabkan "adrenalin rush", dan apabila dipelawa oleh Thai Civilian Deminer Association (TDA) untuk melawat kawasan periuk api,  perasaan teruja  memang tidak dapat dinafikan. 
Tugasan ke kawasan periuk api itu membawa saya ke sebuah daerah terpencil di timur laut Thailand, dipanggil Buachet yang terletak di wilayah Surin, kira-kira lapan jam perjalanan menaiki van dari Bangkok
Buachet terletak di sempadan Thai-Kemboja dan tidak pernah asing kepada konflik bersenjata di antara pelbagai pihak berkepentingan sejak dahulu lagi.
Saya hanya tiba di daerah itu kira-kira 2 petang selepas mengharungi perjalanan jauh dari Bangkok seawal jam 6 pagi dengan beberapa hentian bagi merenggangkan "urat-urat pinggang yang bersimpul".
Setiba di Buachet, saya dan beberapa wartawan lain dari Xinhua, NHK World serta media tempatan dipakaikan baju kalis letupan seberat hampir 10kg, selain diminta memaklumkan jenis darah kami bagi memudahkan rawatan diberikan jika kami terpijak periuk api.
"Ia adalah permintaan (tentang jenis darah) yang amat menenangkan minda sebelum memasuki kawasan periuk api," kata saya sambil tersenyum kepada yang lain.  
Ambulan dan pasukan perubatan pula sentiasa bersedia di luar hutan, tidak pasti sama ada kehadiran mereka menenangkan atau meresahkan lagi pemikiran.
Selepas segalanya selesai, kami dibawa memasuki hutan Jaratpattana untuk melihat kawasan yang ditanam dengan ribuan pelbagai jenis periuk api.
Kawasan hutan yang dipenuhi periuk api itu hanya 100 meter dari sempadan Kemboja dan biasa digunakan oleh pendatang tanpa izin serta pencuri khazanah bernilai hutan seperti kayu "Rosewood".
Sepanjang berada di dalam hutan, kami dipandu dengan teliti oleh anggota TDA dan Thai Mine Action Centre (TMAC) bagi memastikan kami hanya melalui laluan yang telah dibersihkan daripada sebarang ancaman periuk api.
Papan tanda "Danger. MINE" berada di mana-mana, mengingatkan saya tentang bahaya yang menanti jika saya tersalah pijak mana-mana bahagian di hutan itu.
Sepanjang berada di hutan itu, saya melihat ribuan periuk-periuk api yang masih aktif berada di sekeliling, menunggu dengan senyap mangsa yang berkemungkinan tidak bernasib baik untuk menyedari kehadirannya.
Menurut pengurus TDA Khun Amornchai yang mengiringi kami, periuk-periuk api itu ditanam oleh pihak bertelagah sejak tahun 70-an yang menjadikan kawasan hutan itu sebagai medan pertempuran mereka.
"Pihak-pihak bertelagah itu datang dari puak yang bersekutu dengan Khmer Rouge, Raja Norodom Sihanouk, Vietnam dan lain-lain lagi," katanya.
Saya melihat sendiri bagaimana anggota TDA dan TMAC dengan teliti mengesan kehadiran periuk menggunakan alatan khas, menandanya sebelum menyahaktifkannya dengan mencabut fius peledaknya.
Menurut beliau, operasi yang paling berbahaya adalah ketika mencabut fius peledak daripada periuk api, kerana pada waktu ini apa sahaja boleh berlaku berikutan ketidakstabilan bahan peledaknya.
Periuk api yang telah dinyahaktifkan itu kemudiannya akan dipindahkan ke kawasan perlupusan.
Ribuan periuk api di kawasan hutan yang dilawati kami terdiri daripada "anti personnel mine" yang direka bukan untuk membunuh tetapi lebih kepada untuk mencederakan bahagian kaki mereka yang malang itu.
"Mangsa biasanya akan kehilangan kaki dari paras lutut ke bawah jika terpijak periuk api," katanya.
Setiap tahun banyak laporan diterima mengenai penduduk kampung yang mati dan cedera akibat terpijak periuk api.
Keesokkan harinya kami dibawa melihat operasi memusnahkan periuk api yang telah dinyahaktifkan, sebelum menamatkan tugasan yang amat mencabar dan berbahaya itu.
Selepas segalanya dilaksanakan dan maklumat berjaya dikumpul, kamipun meneruskan perjalanan selama lapan jam menaiki van untuk pulang ke Bangkok.










No comments:

Post a Comment