Wednesday, 19 April 2017

Kerjasama mempromosi produk kayu...

Hubungan baik antara Bernama dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dipertingkatkan dalam mempromosi barangan berasaskan kayu.
MTIB hari ini menyerahkan barangan kelengkapan studio untuk program Ruang Bicara yang disiarkan menerusi Bernama News Channel (BNC).
Antara barangan berasaskan kayu bernilai RM40,000 yang disumbangkan termasuk penyediaan pentas, backdrop dan perabot.
Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata lembaga itu berbesar hati menyediakan barangan tersebut setelah menjalin hubungan baik dengan Bernama hampir lima tahun.
"Melalui program Ruang Bicara ini, MTIB dapat mempromosi industri perkayuan negara kepada masyarakat umum. Secara tidak langsung, ia dapat menyemarakkan lagi agenda perkayuan di negara ini," katanya  selepas majlis simbolik penyerahan kelengkapan tersebut di Wisma Bernama.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.
"Bagi Bernama, kami bangga kerana ada pihak (MTIB) sudi menyumbang barangan kelengkapan bagi ruang studio ini, menjadikannya lebih hebat dan canggih hasil produk tempatan.
“Bernama juga dapat membantu MTIB mempromosi kegiatan industri perkayuan negara, sekali gus industri ini dapat menghasilkan produk-produk berasaskan perkayuan untuk dieksport ke luar negara,” katanya.
Program Ruang Bicara merupakan antara program di BNC yang ke udara secara langsung selama sejam setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10 malam.
Rancangan itu dihoskan oleh Dahlan Maamor dan Sherkawi Jirim bersama panel jemputan bagi membincangkan isu-isu semasa dalam negara termasuk politik dan ekonomi.
-- BERNAMA  


No comments:

Post a Comment