Thursday, 20 April 2017

Konvoi bermotosikal Jubli Emas Bernama...

Cadangan mengadakan konvoi bermotosikal ke seluruh negara dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Bernama pagi ini.
Mesyuarat dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Ketika mengemukakan cadangan itu, Pengurus Pemasaran Foto Mohd Farhan Mustafa berkata acara itu dapat menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas Bernama kerana ia meliputi negeri-negeri.
Katanya, cadangan itu disuarakan "di kalangan kawan-kawan" sebagai usaha penglibatan mereka bagi menyambut ulangtahun ke-50 Bernama.
Acara khusus bersempena sambutan Jubli Emas itu boleh diadakan di setiap negeri yang disinggahi konvoi berkenaan.
Bagi memeriahkan lagi acara, para pemimpin negeri boleh diundang menghadiri majlis sambutan tersebut untuk bersama-sama meraikan Jubli Emas agensi berita nasional ini.
Konvoi bermotosikal itu dicadang disertai para petugas Bernama daripada pelbagai jabatan dan unit.
Ini bukan sahaja akan menggalakkan semangat kerjasama dan berpasukan tetapi menjadi manifestasi kepada perasaan sayang terhadap organisasi dengan kesanggupan menempuh cabaran misi tersebut.
Semangat sambutan Jubli Emas Bernama tidak harus dirasakan di peringkat ibu pejabat sahaja tetapi juga meluas di kalangan warga Bernama di seluruh negara.
Mesyuarat tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang membincangkan setiap aspek majlis makan malam itu yang telah mendapat tajaan menggalakkan.

No comments:

Post a Comment