Friday, 28 April 2017

Hujan lebat, suhu sejuk cabaran hari pertama pendakian...

Hujan lebat secara tiba-tiba di pertengahan jalan dan suhu mencecah 22 darjah celsius pada pendakian hari pertama antara cabaran misi Annapurna 2017 Media dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bagaimanapun, persiapan rapi setiap peserta cabaran tersebut berjaya diatasi dan kesemua peserta selamat tiba di Jhinudanda merupakan tempat rehat hari pertama setelah mengharungi pendakian kira-kira enam jam.
Sebelum itu, kumpulan dianggotai 62 pengamal media, anggota dan pegawai JBPM memulakan pendakian dari Siwai berketinggian 1,300 meter pada 11 pagi waktu tempatan.
Hujan lebat dan petir di Aufue Danda kira-kira 2 petang waktu tempatan menyebabkan sebahagian peserta ekspedisi terpaksa berteduh lebih sejam sebelum memulakan kembali pendakian.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili Nur Firdaus Abdul Rahim, Linda Khoo, Noor Shamsiah Mohamad dan Mohamad Hafiz Abas.
Menurut ketua pendaki Mohd Fakrhrul Munir Mohd Isa perubahan suhu merupakan antara cabaran lazim yang terpaksa dihadapi pendaki yang hendak ke Kem Pangkalan Annapurna, Nepal.
“Cuaca memang sukar dijangka kerana ia boleh berubah pada bila-bila masa. Oleh itu, kami telah mengingatkan para peserta supaya membuat persiapan rapi sebelum memulakan pendakian termasuk menyediakan jaket dan baju hujan," katanya.
Ekoran  itu, beberapa peserta ekspedisi dilaporkan tidak sihat  termasuk  mereka yang mula menunjukkan simptom penyakit akut ketinggian (AMS).
Ekspedisi pada hari kedua esok akan menuju ke Bamboo yang terletak pada ketinggian 2,400 meter dan dijangka lebih mencabar dengan pendakian mengambil masa lapan jam.
Mohd Fakrhrul berkata peserta akan berdepan dengan laluan tangga yang lebih banyak dan menegak dan ia melibatkan perjalanan sejauh 15 kilometer.
“Esok, suhu akan menurun 15 hingga 10 darjah celsius dan ini akan menguji ketahanan mental dan fizikal peserta," katanya.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 31 pengamal media serta 21 anggota dan pegawai bomba serta wakil dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang memulakan pendakian di Siwai pada 11 pagi waktu tempatan semalam (1 tengah hari waktu Malaysia).
Pendakian yang dijangka mengambil masa tujuh hari itu akan mengharungi jalan berliku dan perubahan cuaca.
Ekspedisi itu bakal melakar sejarah memahat nama dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ekspedisi terbesar ke kem setinggi 4,130 meter itu. 
Ketua Ekspedisi Cabaran Annapurna 2017 Fazli Ahmad yakin para peserta telah bersedia setelah menjalani pelbagai latihan termasuk mendaki Gunung Ledang (Johor), Bukit Kutu (Kuala Kubu Bharu, Selangor) dan Gunung Irau (Pahang). 
"Berdasarkan ramalan cuaca semasa, pendaki dijangka tidak berdepan dengan masalah cuaca yang ekstrem. 
"Ini akan memudahkan pergerakan para pendaki untuk bergerak.  Pendakian ini dijangka mengambil masa enam hari sahaja," katanya. 
Sebelum itu, kumpulan tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada 24 April lalu dan mengharungi perjalanan melebihi lapan jam sebelum tiba di Pokhara dari Kathmandu dua hari lepas bagi menyesuaikan keadaan cuaca di sini. 
Sebelum ini, Media Pahang beberapa kali menganjurkan ekspedisi mendaki gunung keluar negara bermula pada 2014 dengan misi pendakian ke Fansipan, Vietnam; Talang, Kerinchi dan Merapi Indonesia (2015); Pulaq, Filipina (2016).
Penyertaan kali ini adalah yang terbesar direkodkan dan ekspedisi itu merupakan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment