Friday, 21 April 2017

Peranan media penting bangunkan masyarakat bermaklumat, kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan peranan media dan kewartawanan yang bertanggungjawab dan beretika sangat penting dalam membangunkan masyarakat bermaklumat, sebagaimana dirancang dalam pelan tindakan Dasar Komunikasi Negara.
Perdana Menteri berkata pelan tindakan berkenaan sedang digubal oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Katanya ketika ini negara berada dalam era 'post-truth' atau pasca kebenaran, dengan kehadiran berita-berita palsu terutamanya dalam pelbagai platform media sosial yang besar pengikutnya, kini sudah menjadi lumrah.
"Apa lebih menyedihkan, khalayak yang terdedah kepada berita-berita palsu yang tidak bersandarkan kepada fakta itu menerima bulat-bulat apa disogokkan kepada mereka.
"Mereka tidak dapat membezakan antara intan dan kaca. Emosi khalayak menewaskan kewarasan mereka. Kita tahu kesahihan maklumat yang disebar menerusi media sosial boleh diragui, kita tahu blog, Facebook dan laman portal media sosial tidak terikat dengan etika media konvensional.
"Jika tidak dibendung dan dikawal, fenomena berita palsu akan mengancam keselamatan negara daripada pelbagai sudut. Berita palsu juga akan melahirkan sejarah palsu, kita tidak dapat membezakan antara yang benar dan batil," katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWN 2017) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas di ibu negara malam ini.
Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengerusi Bersama MWM 2017 yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad Datuk Mustapa Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab serta ketua-ketua pengarang media utama di negara ini.
Perdana Menteri berkata media mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada umum apa itu fakta dan sebaran fitnah.
Katanya kerajaan memandang serius kewujudan berleluasa berita palsu itu sehingga mendorong kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia mewujudkan laman web "sebenarnya.my" yang boleh diakses oleh semua pihak untuk menentusahkan sama ada sesuatu berita ditularkan palsu atau sebaliknya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment