Tuesday, 18 April 2017

Memori percutian Benita ...



Bagaikan menaiki kapal terbang!
Itu yang dirasai penulis sebaik mata menjengah pintu masuk ‘Electric Train Service’ atau ETS ketika mengikuti program lawatan ke Hatyai dan Songkla anjuran Benita dari 8 hingga 10 April lepas.
Dengan keadaan tempat duduknya yang persis pesawat, rak bagasi yang luas, kemas dan penyediaan ruang kafe, ia sangat menjanjikan seribu satu keselesaan dan sungguh ekslusif.
Malah, ruang tandasnya juga tidak seperti keretapi dahulu.
Bagi mereka yang pernah menaiki keretapi sekitar tahun 90-an, pasti masih ingat akan keadaan tandas keretapi pada masa itu.
Ruang sempit, dekorasi tidak menarik dan kegoncangan berada dalam tandas amat tidak menyenangkan.
Akan tetapi tidak dengan ETS. Bukan sahaja ruangnya sungguh selesa bahkan sangat besar sekali gus amat sesuai dan memudahkan penumpang.
Ini membuatkan percutian yang turut disertai isteri Pengurus Besar Bernama, Datin Ruhiza Hashim bersama-sama 71 peserta daripada warga Bernama dan ahli keluarga amat menyeronokkan.
Keterujaan itu begitu ketara. Ada yang mengambil peluang berjalan dari koc ke koc tanpa rasa bimbang kerana ETS tidak bergoncang seperti keretapi dahulu.
Ada yang lebih gemar menikmati keindahan alam kiri kanan mereka dan ada juga yang memilih untuk menonton televisyen.
Sedang asyik dibuai keselesaan, kami dikejutkan destinasi dituju – Stesen Padang Besar- sudah sampai.
Hanya lima jam sahaja berada dalam ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dengan kelajuan maksimum yang dibenarkan --  143 kilometer sejam!
Sangat cepat, berbanding dengan memandu kenderaan yang mengambil masa kira-kira lebih 10 jam untuk sampai ke Perlis dari Kuala Lumpur.
Dua buah bas sedia menanti di Padang Besar untuk membawa kami ke Hatyai.
Sepanjang perjalanan kami dihiburkan dengan telatah ‘Pak Long’ warga Thailand yang begitu petah dan pandai bercerita.
Beliau merupakan pemandu pelancong kami. Menurut beliau rakyat Thailand kini berada dalam keadaan bersedih kerana kematian raja Thailand iaitu Raja Bhumibol yang amat dikasihi oleh rakyatnya.
Perjalanan melebihi 50km ke bandar Hatyai mengambil masa lebih kurang satu jam.
Sampai di Hatyai kami tidak terus dibawa ke hotel. 
Mana mungkin pihak hotel boleh menyiapkan bilik tepat pada masanya bagi peserta lawatan yang ramai ini.
Jadi ‘Kaysorn’ adalah tempat persinggahan kami sebelum sampai ke Hotel. 
Kehangatan ‘bershopping’ sudah mula terasa kerana Kaysorn adalah sebuah kedai menjual pelbagai jenis cenderahati seperti beg, kameja 'T', rantai kunci dan sebagainya..
Kami menginap di Hotel Grand Plaza selama berada di Hatyai.  Lokasinya strategik, sesuai bagi  pelancong yang datang untuk membeli belah.
Tidak perlu takut atau bimbang, kerana menurut Pak Long bandar Hatyai  adalah bandar yang selamat
Warganya  juga  saling hormat menghormati  dan mengalu-alukan pelancong yang datang ke tempat mereka.
Di sebelah malam pula, kami dibawa ke sebuah restoran steamboat ‘Khlong Hea Seafood’ untuk makan malam.
Agak terkejut dan terharu dengan sambutan pengusaha restoran yang begitu gembira menyambut kehadiran kami.
Beliau memasang kain rentang 'Selamat Datang Kumpulan Bernama Dari Malaysia’ yang digantung di tengah-tengah ruang makan terbuka.
Sebanyak 99 jenis makanan disediakan dan kami mengambil peluang memilih makanan kegemaran serta memasaknya menggunakan pot pembakar yang disediakan. 

HARI KEDUA
Selepas bersarapan di restoran Tamraj, kami dibawa ke Nora Plaza yang merupakan sebuah kedai menjual barangan kulit.
Kami disambut pekerja plaza ini sambil menghulurkan kad diskaun 20 peratus.
Pelbagai barangan kulit kambing dan lembu seperti kasut, beg, tali pinggang dan dompet dijual. Ada juga barangan lain seperti barang kemas, pakaian, cenderahati dan sebagainya.
Destinasi kedua ialah Ranu Kohyo iaitu kedai pemborong gajus. Pelbagai kekacang seperti kacang gajus, badam, walnut , jeruk, ikan bilis, pes tomyam dan sebagainya dijual dengan harga yang berpatutan.
Thai House Honey Hatyai adalah destinasi lawatan kami seterusya. Para pengunjung  diberi penerangan mengenai produk madu lebah asli.
Sedikit  air madu diberi kepada kami untuk merasai keaslian madu yang dijual di sana. Menariknya kami diberi tips bagaimana mengetahui madu asli dengan tiruan.
Destinasi seterusnya ialah Chang Puak Camp iaitu sebuah perkampungan gajah. 
Dalam asyik disajikan dengan keindahan alam semulajadi menuju ke perkampungan gajah itu, penglihatan kami tertumpu kepada sebuah bangunan yang tersergam indah seakan-akan Taj Mahal, tetapi kawasannya masih lagi dalam pembinaan. 
Kami singgah di sana untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Rupanya itulah masjid yang terbesar dan terkenal di Songkla.
Bangunan tiga tingkat itu mempunyai lot parkir yang luas, pejabat agama Islam, kaunter urusan perkahwinan, bilik akad nikah dan dewan manakala tingkat dua pula adalah ruang solat utama.
Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Chang Puak Camp. Banyak aktiviti disediakan di perkampungan itu.
Antaranya menaiki gajah, pertunjukan gajah, menunggang ATV, memanah dan menembak. Seekor gajah membawa dua orang penumpang dengan bayaran 500 baht.
Laluan gajah pula agak mencabar kerana melalui sungai, denai dan kawasan berpaya. Menariknya gajah akan lalu di kawasan chalet yang cantik hasil pembuatan kreatif  pekerja di situ yang merupakan tempat mereka tinggal.
Keluar sahaja dari kawasan itu, kelihatan orang ramai berebut menghampiri sebuah pondok kecil. 
Rupanya mereka asyik memilih dan mencari gambar masing-masing yang telah siap dibingkai dan tercatat nama Chang Puak Camp @ Hatyai.
Gambar dibeli sebagai tanda kenangan.
Kami juga dibawa ke sebuah pantai yang bersih, luas dan menarik, namun tiada aktiviti mandi manda  kerana ombak pantai itu agak kuat.
Pantai Shamila cukup popular di Songkla kerana banyak aktiviti pantai disediakan.
Sewaktu kami di sana, pantai itu sedang membuat persiapan untuk mengadakan kejohanan bola tampar pantai sempena sambutan pesta ‘Songkran.’
Jika di Songkla sudah pasti Pasar Terapung Klonghae wajib dilawati. Pasar ini unik kerana peniaga berniaga di dalam perahu.
Pelbagai juadah dijual dan majoritinya adalah muslim. Peniaga akan menghulurkan bekas yang diikat dengan kayu panjang untuk memberi makanan atau barangan yang dibeli dan juga menerima wang.
Di samping itu penganjur menyediakan persembahan tarian tradisional Thai untuk menghiburkan pengunjung.

HARI KETIGA
Selepas bersarapan di restoran tempatan, kami diberi sedikit masa untuk membeli belah di sekitar hotel.
Tepat pukul 12 tengah hari, kami bergerak ke Padang Besar dan menaiki ETS untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Laporan dan Foto Oleh Maznah Abu Bakar









No comments:

Post a Comment