Friday, 3 February 2017

Tepat, cepat dan objektif jadi pegangan...

 Bernama akan sentiasa berpegang kepada peranannya untuk menyebarkan berita dan maklumat secara tepat, cepat dan objektif.
 Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh berkata pendirian ini bagi menjamin rakyat mendapat berita sahih.
"Berita sahih adalah sangat penting," katanya selepas pelancaran program Tamil Oli yang akan bersiaran di Bernama Radio mulai Sabtu ini.
 Ia dilancarkan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu di Wisma Bernama semalam. 
 Program Tamil Oli yang diterbitkan dengan kerjasama New Wave Events Sdn Bhd akan bersiaran dari 11 pagi hingga 1 tengah hari dan 11 malam hingga 12 malam setiap Sabtu dan Ahad.
 Berkonsepkan 'infotainment' atau hiburan dan maklumat, program itu boleh diikuti di saluran Bernama Radio 93.9FM di Lembah Klang, 107.5FM di Johor, 107.9FM di Sabah dan 100.9FM di Sarawak.

 Datuk Zulkefli percaya program itu akan memperbanyakkan lagi kandungan (content) Bernama Radio untuk membolehkannya mencapai audien berbahasa Tamil.
"Ini penting untuk menyampaikan maklumat dan berita mengenai kenegaraan dan sebagainya kerana kita percaya di luar sana banyak permintaan daripada masyarakat Tamil untuk mendengar berita di dalam bahasa ibunda mereka," katanya.
"Sebenarnya kita didatangi oleh pihak New Wave Events dan setelah melihat proposal mereka, kita dapati ia boleh mendatangkan kebaikan kepada agensi ini keseluruhannya dalam memperluaskan penyampaian kita," katanya. 
 Ia juga mendatangkan sedikit hasil kepada Bernama Radio kerana operasinya ditanggung oleh Bernama.
 "Saya ingin mengajak masyarakat Tamil di Malaysia agar mendengar berita dan maklumat menerusi Program Tamil Oli di Bernama Radio," katanya.

No comments:

Post a Comment