Saturday, 25 February 2017

Pasangan kembar siam kenang jasa Arab Saudi...

 Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
    
"Jasa Kerajaan Arab Saudi akan kami kenang hingga akhir hayat". 
Itulah luahan pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli, 19, yang dilahirkan bercantum dari bahagian dada hingga ke punggung. 
Kisah mereka bukan sahaja mencuri perhatian masyarakat dunia tetapi juga Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz yang bermurah hati membiayai sepenuhnya kos pembedahan pemisahan mereka sebanyak RM1.7 juta.
 Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan baginda yang ketika itu merupakan putera mahkota Arab Saudi, Ahmad dan Muhammad kini mampu berdikari dan menjalani kehidupan seharian secara normal.
 "Kami sendiri tak dapat bayangkan kalau masih bercantum... pergerakan mungkin terbatas dan susah nak lakukan aktiviti sebab walaupun kembar dan hampir seiras, saya dan Muhammad mempunyai minat dan cita-cita berbeza," kata Ahmad ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.
 Pembedahan dijalankan pada 17 Sept 2002 di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi dan mengambil masa 22 jam 45 minit dengan diketuai pakar bedah, Dr Abdullah Abdul Aziz Al Rabeeah beserta 41 doktor pakar, perunding perubatan dan kumpulan sokongan. 
 Mengimbau kembali detik pasangan kembar itu dipisahkan pada usia empat tahun, bapa mereka Rosli Abdul Rahim, 46, berkata sepanjang empat bulan berada di Arab Saudi, keluarganya bukan sahaja diberi layanan yang baik, tetapi juga sokongan semangat berterusan oleh keluarga diraja.
"Sepanjang tempoh pembedahan, kami sekeluarga hanya mampu bertawakal kepada Allah... perasaan bercampur baur, berdebar, takut semua ada tapi kami tidak putus-putus dibekalkan kata semangat dan sokongan untuk kekal kuat.
"Pasukan perubatan juga banyak membantu memberikan penerangan cara-cara penjagaan termasuk dari segi emosi Ahmad dan Muhammad dan mereka semestinya memerlukan banyak masa untuk serasi dengan keadaan baharu," katanya.
 Menurut Rosli yang mengusahakan bengkel pertukangan besi, beliau menyimpan hasrat untuk membawa pasangan kembar itu berjumpa pengganti Almarhum Raja Abdullah, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang dijadual melawat Malaysia dari 26 Feb hingga 1 Mac, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.
 Kejayaan pembedahan itu jelas dapat dilihat selepas pasangan kembar itu meningkat dewasa apabila mereka bukan sekadar mampu menguruskan diri, malahan Ahmad yang mempunyai satu kaki kiri dan Muhammad dengan satu kaki kanan berupaya membantu keluarga melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan menyediakan sarapan. 
Mesra dipanggil Along dan Angah, Ahmad dan Muhammad kini menuntut di universiti swasta dalam jurusan rekaan grafik dan teknologi maklumat atas bantuan zakat.
Ahmad yang gemar melukis dan Muhammad dengan aktiviti komputer turut berhasrat membuka perniagaan percetakan dan rekaan grafik, selain membina perisian komputer.  
Berkongsi kisah pembelajaran mereka di kolej, Muhammad berkata mereka menggunakan kerusi roda untuk ke kelas kerana lebih mudah bergerak berbanding tongkat.
"Di kampus, kami memang ramai kawan... mereka semua baik dan tidak meminggirkan kami walaupun kekurangan fizikal.
"Ada juga dalam kalangan mereka yang masih keliru antara saya dan Ahmad walaupun sudah setahun berkawan... nak selamat, mereka panggil 'Mat' saja," katanya berseloroh.
 Pasangan kembar itu berazam belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ayah yang menjaga mereka selepas kematian ibu, Asiah Kanda akibat kanser payu dara pada 2011.
 -- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment